Malaysia Dateline

Syed Saddiq nafi dakwaan berada di lokasi tangkapan Adun Dengkil, pegawai khas KBS

Menteri di Kementerian  Belia dan Sukan (KBS) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan beliau berada dalam tangkapan membabitkan Adun Dengkil dan pegawai khas menteri ketika serbuan polis di sebuah apartment mewah di Jalan Pucong baru-baru ini.

Syed Saddiq dalam kenyataannya berkata penularan berita yang dimuat naik oleh Johor Press dan diulang siar oleh Mynewshub adalah tidak benar sama sekali, yang mendakwa beliau terlebih dahulu pulang awal sebelum serbuan dilakukan oleh pihak polis.

“Saya telah dimaklumkan berkenaan penularan berita yang tidak benar membabitkan saya sendiri.

“Di dalam artikel yang diterbitkan oleh Joho Press bertarikh 17 Januari 2020 bertajuk “Syed Saddiq Sebenarnya Ada Di Parti
Dadah Tapi…”, ia menerbitkan berita tidak benar dan telah memburukkan nama baik saya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Antara kandungan artikel tersebut adalah seperti “Menurut satu maklumat yang diterima melalui aplikasi Whats App, sebenarnya pada hari kejadian Syed Saddiq turut berada di lokasi yang sama mereka ditahan polis” dan
“Nasib menyebelahi Syed Saddiq apabila dikatakan dia sudah pulang lebih awal sebelum serbuan dibuat oleh pihak polis”. Maklumat tidak benar ini
juga telah ditularkan oleh pihak ketiga seperti Mynewshub.
Saya ingin menegaskan bahawa kandungan artikel yang diterbitkan oleh Johor Press adalah tidak benar sama sekali,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, dakwaan cubaan kononnya ada usaha untuk melobi projek besar di kementerian itu adalah salah dan telah menjejaskan imej baiknya sebagai seorang menteri di kementerian itu.

“Sejak saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, saya ingin menekankan bahawa pencapaian KBS di dalam Public Service Corruption Ranking (PSCR) yang dikeluarkan oleh SPRM semakin cemerlang.

” KBS telah berjaya memperbaiki tangga PSCR dari 8 kementerian paling
berisiko rasuah kepada tangga 16 paling kurang risiko rasuah dan salah laku.

“Pihak kami akan membuat laporan polis dan akan merujuk kepada tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menyebarkan berita tidak benar terutamanya berkaitan integriti Kementerian Belia dan Sukan,” ujarnya.

Baru-baru ini Syed Saddiq telah mengantung tugas dua pemimpin pemudanya yang didapati terbabit dalam tangkapan polis itu yang didapati positif dadah.