Malaysia Dateline

Syed Saddiq perlu tanya Mahathir kenapa dulu tidak segera laksana agenda PH

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin menegaskan perubahan sistem percukaian dan penggubalan akta pembiayaan politik tanpa mempertimbang aspek secara menyeluruh untuk memperbetul tatacara pengurusan ekonomi sedia ada tidak mampu melahirkan sistem yang lebih adil dan saksama.

Menurutnya, pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan kesal berhubung cadangan yang dibincang ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah gagal dilaksanakan setelah Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Persekutuan.

“Soalan yang perlu ditanya oleh Syed Saddiq ialah kenapa Perdana Menteri ketika itu tidak segera melaksanakan agenda yang telah dibincang dan diangkat sebagai janji Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) setelah beliau menerajui kerajaan.

“Tindakan lengah ini telah merencatkan banyak agenda reformasi institusi yang sepatutnya disegerakan dan akhirnya menjejaskan imej PH,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul berkata demikian sebagai reaksi terhadap pelbagai mengenai cadangan sistem percukaian yang didakwa tidak adil dan juga keperluan untuk menggubal akta pembiayaan politik seperti yang pernah dibangkitkan oleh Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menjelaskan reformasi ekonomi perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar dan tidak harus disempitkan kepada perubahan sistem percukaian atau pembiayaan politik semata-mata.

“Ia harus merangkumi perubahan kepada sistem berat sebelah yang memberi kelebihan tidak adil kepada golongan kaya serta akses kepada penjawat tinggi politik.

“Perubahan ini juga perlu dituju kepada sistem ‘rent-seeking’ yang memperkayakan para pemuka perniagaan hanya berasaskan kepada hubungan baik mereka dengan pemuka politik,” hujahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sistem yang lahir dan menjadi tunjang 22 tahun pentadbiran Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri keempat lalu yang perlu diubah.

Semasa pentadbiran PH, kerajaan ketika itu menjangka dapat membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan yang menumpukan aspek mengawal selia sumbangan politik sebagai usaha membentuk ekosistem negara bebas rasuah.

Bagaimanapun, nasib RUU tersebut tidak diketahui ekoran tumbangnya kerajaan PH digantikan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk bukan melalui mandat rakyat sejak awal tahun lalu.