Malaysia Dateline

Syed Saddiq persoal kenapa kena tuduh beberapa hari sebelum Parlimen bersidang

Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan pertuduhan pecah amanah yang dikenakan terhadapnya menjelang sidang Parlimen minggu depan.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan siasatan berkaitan pertuduhan itu sudah dilakukan lebih setahun lalu.

“Persoalannya, kenapa selepas satu tahun dan beberapa hari sebelum Parlimen bersidang, baru nak kenakan pertuduhan?

“Mungkin nak lihat jika saya boleh jual maruah dan prinsip untuk menyertai Perikatan Nasional (PN),” tegasnya dalam siaran langsung selama sejam 20 minit di Facebook malam tadi.

Ahli Parlimen Muar berkenaan turut menjawab dakwaan bahawa beliau mempunyai aset dan gaya hidup mewah.

“Saya tidak ada rumah yang mewah. Rumah saya adalah harta bersama milik keluarga saya yang dibeli sebelum saya masuk ke dunia politik atau menjawat jawatan menteri.

“Tidak ada kereta mewah, jam mewah, sut mewah,” tegasnya lagi sambil memberitahu pengisytiharan hartanya dikongsikan di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).