Malaysia Dateline

Syed Saddiq pertahan pendirian tolak kontrak kerajaan, jawatan dalam Bersatu

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap dengan pendiriannya menolak pemberian kontrak kerajaan dan jawatan kepada golongan tertentu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Syed Saddiq berkata setiap anggota Bersatu bebas melontarkan pandangan masing-masing dalam amalan demokrasi parti berkenaan.

“Tak guna masuk dan menjawat jawatan yang tinggi tapi pada akhirnya lupakan asal perjuangan yang menyebabkan saya menyertai dunia politik, tetapi yang bagus sudah ada kenyataan tegas daripada ketiga-tiga pemimpin parti iaitu (Pengerusi), Tun Dr Mahathir Mohamad, (Presiden), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

“Mereka bersetuju dengan pandangan Armada, jadi saya rasa dalam bab ini pemimpin tertinggi bersama dengan pendirian kami (Armada) dan ini menunjukkan kita hendakkan budaya politik yang baharu,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian bagi mengulas mengenai kononnya ada usaha oleh sebahagian ketua bahagian Bersatu untuk menyingkirkan beliau susulan kenyataannya yang menyelar ucapan wakil Wilayah Persekutuan berhubung isu kontrak dan jawatan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya, Ahad lalu.