Syed Saddiq pula tegur Guan Eng guna bahasa Mandarin

Syed Saddiq pula tegur Guan Eng guna bahasa Mandarin

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu pemimpin Pakatan Harapan kembali kepada pengunaan Bahasa Kebangsaan sebagaimana peruntukkan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia.

Beliau berkata, Bahasa Kebangsaan perlu digunakan sebagai bahasa rasmi untuk setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan.

“Isu berbangkit mengenai penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai medium untuk kenyataan rasmi kerajaan, saya percaya kita harus berbalik kepada undang-undang yang telah diluluskan Parlimen Malaysia.

“Menurut Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan, “Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi”.

“Ini bermakna, ia telah pun dipersetujui bahawa Bahasa Malaysia perlu digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah kenyataan-kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan.

“Ia juga selari dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu hendaklah dijadikan Bahasa Kebangsaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai Menteri Kewangan Lim Guan Eng merujuk Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian beliau selepas didakwa tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam satu kenyataan berbahasa Mandarin, setiausaha agung DAP itu berkata, penggunaan bahasa berkenaan melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.

Bagaimanapun Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, beliau percaya keperluan untuk menyelaras penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan rasmi kerajaan ini penting untuk memastikan tidak ada kekeliruan daripada pihak awam berkenaan apa-apa perkara yang diterbitkan oleh pihak Kerajaan Malaysia.

“Kenyataan di dalam Bahasa Kebangsaan akan dijadikan satu-satunya sumber rasmi oleh mana-mana pihak.

“Kenyataan rasmi Kerajaan Malaysia juga akan diterjemah kepada Bahasa Inggeris sebagai sumber rujukan media asing dan boleh diterjemah kepada bahasa ketiga jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya percaya tidak ada sebarang masalah untuk menterjemah mana-mana kenyataan rasmi Kerajaan Malaysia. Namun, keutamaan perlu ditekankan kepada penggunaan Bahasa Kebangsaan untuk hebahan media buat kali pertama. Kekeliruan dan salah faham dari orang ramai dapat dielakkan dengan prosedur sebegini,” ujarnya lagi.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote