Malaysia Dateline

Syed Saddiq rela Muda kekal di blok pembangkang

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau lebih rela partinya kekal di blok pembangkang dari menyertai penjajaran Umno-PKR.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau berpendirian sedemikian meskipun jika gabungan Umno-PKR berjaya membentuk kerajaan pada masa akan datang.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan harus ada prinsip tanpa perlu menggadaikan pegangan sehingga tergamak bekerjasama dengan individu yang digelarnya sebagai ‘kleptokrat’.

Hal ini memandangkan, jelasnya, Umno tidak terbuka melakukan reformasi terutama dari segi rasuah serta penghapusan pemusatan kuasa, dan ini mendorong beliau untuk menegur Anwar dalam hal ini.

“Tidak perlu kita berselindung (soal perjanjian pintu belakang), bukan saya sahaja yang cakap malah Anwar pun cakap. Surat yang dikeluarkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ke istana itu betul. Sampai sekarang semua tahu itu betul.

“Jadi pendirian saya, saya masih dalam blok pembangkang. Saya tidak ada masalah sokong Anwar, dasar-dasar pembaharuannya saya sokong.

“Tetapi berkenaan kerjasama politik, kalau tiba-tiba dia kata “Saddiq, sertai kerajaan bersama Zahid dan Najib”, saya akan kata, tidak mengapa dan saya akan tolak.

“Jadi, kita kena lawan kleptokrasi, itu jelas dan itu saya tidak akan berkompromi. Sebab itu, apabila saya tegur Anwar bab ini, saya tegur, dan tidak salah untuk tegur,” katanya.

Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dipetik berkata demikian dalam wawancara Mingguan Malaysia hari ini.