Malaysia Dateline

Syed Saddiq risau tindakan hanya kompaun menteri Pas hantar mesej salah

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menyatakan kerisauannya susulan tindakan terhadap Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang hanya dikenakan kompaun RM1,000 selepas ingkar mematuhi SOP kuarantin wajib Covid-19.

Ahli Parlimen Muar tersebut berkata, pelanggaran arahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) itu tidak adil memandangkan rakyat dihukum denda lebih tinggi malah dipenjara.

“Mengapa apabila melibatkan menteri tiada pendakwaan tetapi apabila melibatkan rakyat biasa boleh dihadapkan ke mahkamah dan dipenjara.

“Tiba-tiba ada kompaun khas untuk menteri. Ini tidak masuk akal. Pelik bin ajaib,” ujarnya ketika ditemui media hari ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Armada Bersatu berharap rakyat Malaysia dapat menilai bagaimana pelaksanaan undang-undang tidak digunapakai secara adil.

“Yang berkuasa terus berkuasa. Saya amat risau geng gelang tangan merah jambu.

“Kompaun RM1,000 dikenakan terhadap menteri itu akan menghantar mesej yang mengelirukan dan sangat tidak baik iaitu lebih baik iaitu seseorang yang pulang dari luar negara tidak perlu buat kuarantin.

“Hanya kompaun tidak lagi didakwa di mahkamah. Lebih baik bayar saja saman berbanding bayar tempat kuarantin beribu ringgit,” ujar Syed Saddiq lagi.