Malaysia Dateline

Syed Saddiq sah tubuhkan parti anak muda

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan beliau akan menubuhkan parti baharu berasaskan golongan anak muda.

Ahli Parlimen Muar itu tidak akan menyertai parti baharu ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebaliknya akan menubuhkan parti anak muda berbilang kaum.

Menurutnya, keupayaan golongan muda tidak harus dipandang remeh memandangkan parti berasaskan anak muda sudah muncul di negara luar.

“Sekiranya di Thailand mereka dapat menubuhkan parti Future Forward dan di Perancis, mereka dapat menubuhkan En Marche di bawah (Emmanuel) Macron, saya rasa sudah waktunya di Malaysia, untuk memulai gerakan orang muda – teknokrat muda, profesional – ahli politik muda dari pelbagai latar belakang hingga bersatu untuk memastikan suara pemuda akan menguasai di dalam dan di luar parlimen.

“Pada akhirnya, anak muda tidak boleh dipandang ringan lagi. Sudah sampai masanya pada hari ini bahawa politik tidak akan dikuasai oleh orang yang sama – dikawal dan dimonopoli oleh orang tua yang sama,” lapor Channel News Asia.

Semalam, bekas menteri berusia 27 tahun itu menyertai konvoi motosikal bagi berkempen menyokong calon bebas yang disokong Pejuang pada PRK DUN Slim, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Syed Saddiq muncul sebagai satu-satunya bekas wakil rakyat Bersatu yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak menyertai Pejuang.