Malaysia Dateline

Syed Saddiq saran elaun ahli politik, menteri ditarik

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan agar elaun ahli politik dan menteri ditarik bukannya elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video di Twitter rasminya ekoran pengumuman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai pemansuhan lapan elaun membabitkan warga Kementerian Kesihatan itu.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membantah pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) mulai Januari 2020 bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang baru dilantik.

Menurutnya, tindakan pemansuhan elaun kritikal itu tidak wajar khusus bagi doktor dan jururawat muda.

“Saya bantah pekeliling baru JPA membabitkan banyak anak muda dalam sektor kerajaan.

“Sebagai permulaan, saya akan memotong pendek cuti tahunan saya, dan akan memulangkan setiap sen duit yang diterima sebagai ‘holiday’ elaun.

“Saya dah kurangkan 10 peratus dari gaji saya dan akan pastikan yang lain akan kurangkan juga sehingga masalah ini selesai,” katanya.

Pendirian Syed Saddiq itu kemudiannya menerima reaksi positif pengguna media sosial yang menganggap hanya menteri itu memahami bebanan dan keluhan anak muda.

Syed Saddiq berkata, tindakan pemansuhan itu dianggap satu penganiayaan kepada mereka yang sememangnya sudah bekerja lebih masa dengan gaji yang kurang daripada kadar sepatutnya.

“Saya tahu perkara ini kerana baru saja melalui pembedahan apendisitis di hospital kerajaan yang berikan rawatan terbaik kepada semua rakyat Malaysia.

“Ini berkenaan anak muda dalam sektor kerajaan, kita patut membela mereka dan tidak menganaktirikan kerana ini adalah tanggungjawab bersama,” tegasnya lagi.

JPA menerusi pekelilingnya, 19 Disember lalu mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun bermula tahun depan antaranya BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.