Syed Saddiq sedia selesai isu pemilihan MPM jika tiada penyelesaian

Syed Saddiq sedia selesai isu pemilihan MPM jika tiada penyelesaian
(kiri) Putera Edward menerima cenderahati kenangan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika lawatan Earl of Wessex, itu di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan, pihaknya bersedia untuk menyelesaikan kemelut pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) jika tiada jalan penyelesaian.

Beliau bagaimanapun menegaskan, campur tangan itu hanya akan dilakukannya selepas tiada pilihan jalan penyelesaian dan juga selepas mendapat nasihat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

“Kalau sudah sampai ke tahap itu saya akan cuba selesaikan secepat mungkin. Tetapi kena melalui proses sedia ada terlebih dahulu.

“Kemelut itu perlu segera diatasi memandangkan atlet Malaysia akan menghadapi Sukan Para Asean dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya pada sidang media selepas mengiringi Naib Penaung Persekutuan Sukan Komanwel, Putera Edward mengadakan lawatan ke Bandar Sukan Kuala Lumpur dan Majlis Sukan Negara, di Bukit Jalil hari ini.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq berkata sebelum ini, pihaknya ada dimaklumkan terdapat beberapa cadangan daripada kepimpinan MPM untuk menyelesaikan kemelut yang sedang melanda badan induk itu.

“Ada yang ingin melakukan EGM (Mesyuarat Agung Luarbiasa), ada yang nak saya putuskan dan ada juga mahu diselesaikan menerusi Mahkamah Timbang Tara.

“Jadi perkara ini saya biarkan Pesuruhjaya Sukan bincangkan bersama dengan mereka untuk mencari kata sepakat sebelum wujudnya keperluan untuk saya masuk campur, katanya lagi.

Putera Edward bersama bergambar kenangan bersama atlet kebangsaan

Sebelum ini, media melaporkan PPS menasihatkan MPM supaya proses pemilihan itu diselesaikan mengikut kaedah yang betul seperti yang termaktub dalam perlembagaan badan induk itu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan (PJS), Asmadi Mohamad menerusi surat bertarikh 30 Ogos lalu kepada MPM yang viral di laman sosial berkata, badan induk itu perlu merujuk kepada perlembangan artikel 26.3 yang sudah menjelaskan secara terperinci tindakan boleh diambil.

Artikel berkenaan menyatakan sekiranya proses mediasi gagal, maka isu berkenaan memerlukan kata putus daripada Menteri Belia dan Sukan atau Mahkamah Timbang Tara.

Jawatankuasa Mediasi ditubuhkan untuk mencari penyelesaian bagi kemelut yang dihadapi MPM berkenaan tarikh tutup pencalonan bagi memilih ahli majlis baru pada AGM 29 Jun lalu namun ia menemui kegagalan.

Terdahulu, Putera Edward dibawa melawat ke beberapa pusat latihan atlet negara antaranya Pusat Akuatik Nasional, gelanggang sepak takraw dan wushu serta menyaksikan latihan gimrama dan gimnastik.

Turut hadir, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Bekas Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

Atlet negara kini sedang menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Manila 2019.

Dalam lawatan itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, Putera Edward memberitahu bahawa perkembangan sukan di negara ini agak memberangsangkan sejak dari 1998 sehingga ke hari ini.

“Dalam penganjuran Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di Bukit Jalil, beliau (Putera Edward) telah datang ke sini, justeru beliau ingin memastikan perhubungan antara Malaysia dan negara komanwel yang lain sentiasa kekal rapat.

“Putera Edward turut menekankan bahawa perkembangan sukan paralimpik di negara kita berada dalam prestasi agak membanggakan. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi meninjau perkembangan sukan di sini dan melawat Malaysia,” katanya.

Bekas pemain badminton nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei turut hadir pada sesi lawatan kali ini