Syed Saddiq tidak patut beri kenyataan bercanggah dengan Perdana Menteri

Syed Saddiq tidak patut beri kenyataan bercanggah dengan Perdana Menteri

Pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berpendapat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kedudukan Dr. Zakir Naik di negara ini.

Menurut anak didik Dr Zakir itu, Syed Saddiq menyertai beberapa pemimpin lain yang ‘kepanasan’ sehingga sanggup menyokong Zakir diusir keluar dari Malaysia disebabkan kenyataan mengenai kaum Cina yang dipetik di luar konteks oleh sebuah portal.

“Zakir telah memberi ucapan secara umum namun dipetik di luar konteks oleh sebuah portal malah ada yang tambah apa yang Zakir tidak cakap.

“Malangnya, ada sesetengah pemimpin yang tanpa memperhalusi keseluruhan ucapan tersebut terus mengeluarkan kenyataan menghentam dan setuju Zakir diusir keluar,” dipetik dari Utusan Online.

Kelmarin, Mahathir mengulangi kenyataannya bahawa Dr Zakir Naik tidak akan diusir keluar dari Malaysia di sebalik desakan daripada anggota jemaah menteri supaya pendakwah Islam kontroversi itu diekstradisi ke India.

Zamri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis berpendapat terdapat menteri pernah memberi ucapan lebih teruk daripada Zakir iaitu Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy tetapi tidak diambil sebarang tindakan.

“Kula Segaran kata Melayu sebagai bangsa pendatang, tetapi masa itu, mana suara-suara pemimpin-pemimpin ini untuk membantah kenyataan tersebut,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Syed Saddiq tidak berlaku adil terhadap Dr Zakir apabila hanya diam ‘seribu bahasa’ ketika Kula Segaran menghina Melayu sebagai bangsa pendatang sebelum ini.

Bahkan, tegas Zamri, Syed Saddiq juga tidak berkata apa-apa ketika Waytha Moorthy menghina Islam di luar negara, apatah lagi untuk membantah atau menggesa pemimpin berkenaan dilucutkan kerakyatan.

Semalam, Syed Saddiq berkata, orang Cina di Malaysia bukan tetamu tetapi warganegara yang cintakan negara bertuah ini sebagai membidas kenyataan Dr Zakir yang dimuat naik oleh sebuah portal.

Dalam pada itu, Zamri menyeru kepada mana-mana pemimpin atau menteri yang tidak berpuas hati dengan Dr Zakir agar datang ke Perlis pada malam Sabtu ini untuk sebuah slot sesi soal jawab.

Tambahnya, sesi itu akan berlangsung di Masjid Al-Hussain yang juga dikenali sebagai ‘Masjid Terapung’ di Kuala Perlis dengan orang ramai boleh bertanyakan soalan kepada pendakwah antarabangsa itu.