Syeikh Fadzil Awang Mufti baharu Kedah

Syeikh Fadzil Awang Mufti baharu Kedah

Datuk Syeikh Fadzil Awang (Gambar kiri)  dilantik sebagai Mufti Kedah yang baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah hari ini.

Beliau berkata Syeikh Fadzil, 68, menggantikan Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad yang tamat kontrak selepas berkhidmat dengan penuh komitmen dari 2009 hingga 2017.

Saya ingin ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syeikh Fadzil yang mendapat perkenan daripada pihak Sultan Kedah untuk dilantik sebagai mufti kerajaan negeri yang baharu.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Syeikh Muhamad Baderudin yang berkhidmat dengan penuh kecemerlangan dalam mengangkat martabat agama Islam di negeri Kedah ke tahap yang ada pada hari ini, katanya dalam kenyataan hari ini.

Syeikh Fadzil dilahirkan pada 18 Jun 1949 di Kampung Pida 7, Jalan Sanglang, Kodiang.

Beliau menerima pendidikan awal di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan dan Sekolah Agama Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Pengajian Tafsir dan Ulum Al-Quran.

Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penyelidikan Islam di Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1981 hingga 1984 selain menjadi guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Maktab Mahmud di sini pada 1984 hingga 2005.

Selain itu, Syeikh Fadzil pernah dilantik sebagai Anggota Jawatankuasa Fatwa Kedah pada 2002, Anggota Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Anggota Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Anggota Lembaga Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji/Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

COMMENTS

Wordpress (0)