Malaysia Dateline

Syor cetak duit, pemimpin Umno perli Wan Fayhsal

Susulan idea ‘bernas’ yang diontarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas, pemimpin Umno mula membidas serta menyindir Ketua Armada itu di media sosial.

Tokoh veteran Umno Tan Sri Sharir Samad melalui Facebooknya membidas kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terkial-kial dalam menghadapi masalah kewangan dan ekonomi negara bagitu juga dengan pelapisnya.

“Saya ingat nak post komen saya tentang kegeligaan pemimpin muda PPBM. Memadailah dengan saya kongsikan penulisan anak muda Johor Bahru.

“Macam mana kerajaan PN berteras PPBM terkial-kial dengan kewangan dan ekonomi negara, macam itu jugalah pemimpin pelapisnya.

“Timbalan menteri tu!” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyindir idea bernas timbalan menteri terbabit dengan berkongsi gambar sebuah mesin yang mencetak duit bernilai RM50 di Facebooknya.

Sindir Shabery gambar mesin yang dikongsinya itu adalah jenis yang mudah alih dan senang untuk dikendalikan oleh ketua-ketua komuniti.

“Ada yang berat sikit dan ada juga jenis mudah alih. Senang dikendalikan oleh ketua2 komuniti,” tulis beliau.

Seorang anak muda Johor, yang dikenali sebagai Faiz Banafe menyifatkan jika adangan wan Fayshal diguna pakai kesan ekonomi negara bertambah teruk yang mana nilai RM akan jatuh, inflasi akan meningkat, harga barang akan meningkat, ekonomi jatuh akhirnya rakyat akan sengsara.

“Ni la level Ketua Armada Malaysia, Timbalan Menteri dari parti PPBM.

“Bak kata orang Jawa, “Use your brain, not your lutut”, sindir beliau.

Terdahulu, Fayhsal ketika bercakap di radio BFM menyarankan agar Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagih kepada rakyat untuk dibelanjakan.

Katanya, langkah itu boleh dilakukan menerusi dasar kewangan “wang helikopter” dengan bank pusat secara langsung mencetak wang dan memberikannya kepada rakyat supaya mereka dapat membelanjakannya.