Malaysia Dateline

Syor PKP penuh di Selangor: Pejuang Muda bidas Armada

Sayap pemuda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) membidas kenyataan Ketua Penerangan Armada, Ashraf Mustaqim berhubung gesaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di Selangor.

Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia (Penaja), Akif Rusli percaya sentimen fitnah adalah dari Ashraf yang sehingga kini dengan ego tidak memberikan sebarang permohonan maaf terbuka walau sedikitpun kepada kerajaan negeri Selangor.

Terdahulu, Ashraf mendakwa Selangor kononnya memiliki kuasa autonomi untuk pelaksanaan PKP penuh dan menekankan lockdown di Selangor adalah kewajipan kerajaan negeri yang perlu dinilai dan dilaksanakan.

Bagaimanapun, Akif menempelak Ashraf dengan berkata, ego politik jauh lebih penting daripada ketelusan dalam berbicara.

“Pimpinan kerajaan PN-BN sanjungan Ketua Penerangan Armada ini yang sepatutnya berhenti daripada bermain politik kotor dan jijik sehingga sanggup menggunakan kuasa darurat bagi menekan pihak pembangkang,” tempelaknya.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau menegaskan beberapa cadangan penyelesaian telah diberikan oleh Tun Dr Mahathir dalam usaha menangkis penularan Covid-19 yang sedikit sebanyak dapat membantu usaha untuk menangani pandemik tersebut.

“Bukan dengan menghabiskan dana rakyat bagi tujuan kepentingan kedudukan politik kalian.

“Bukan juga dengan menghalang daripada Perlembagaan Persekutuan untuk berfungsi dengan adil dan saksama dan hak berpersatuan rakyat dinafikan akibat keangkuhan Menteri Dalam Negeri yang juga merupakan Setiausaha Agung Bersatu iaitu parti induk kepada sayap Armada,” katanya.

Sehubungan itu, Akif menasihatkan Ashraf agar apa-apa rujukan jika ianya adalah fakta perlu datang daripada kajian dan bukannya ucapan diri sendiri.

“Terimalah dan sila akui bahawa cadangan yang diberikan oleh YB Tun Dr. Mahathir sebagai individu yang berpengalaman dalam urusan selok belok pentadbiran negara sekadar 22 tahun dan 22 bulan menjadi Perdana Menteri adalah demi kepentingan negara dan kebajikan rakyat.

“Sila juga akui bahawa kegagalan pimpinan ini adalah kelemahan pimpinan sanjungan anda iaitu Tan Sri Mahiaddin @ Muhyiddin Yassin sendiri dan Jemaah Menteri Gergasinya,” tegas Akif lagi.