Syukur dan gembira, kata Daim dan Rafidah selepas dipecat Umno

Saya tidak mahu ada kaitan dengan parti yang bergelumang dengan masalah, kata Rafidah.

Tindakan Umno memecat dua bekas pemimpin kanannya, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainudin bukan menggusarkan kedua-duanya bahkan mengembirakan mereka.

“Saya sangat gembira,” kata Rafidah, bekas ketua wanita Umno itu kepada wartawan selepas Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengumumkan pemecatan beliau sebagaimana dilaporkan laman aplikasi Malaysia Decides.

“Saya tidak mahu ada kaitan dengan parti yang bergelumang dengan masalah,” tambah Rafidah yang juga mendakwa parti itu kita bertentangan dengan perlembagaannya sendiri.

Sebelum ini Rafidah mendakwa Umno bertembung dengan perlembagaannya sendiri selepas tidak mengadakan pemilihan sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti itu.

Daim pula bersyukur beliau telah dipecat oleh Umno.

“Hari ini saya dengar Rafidah dan saya dipecat. Shukur Alhamdulillah,” kata Daim mengulas pemecatan beliau dari Umno ketika berdialog dengan orang ramai di Parit Yusof, Johor.

Katanya, hanya mereka yang hendak bunuh diri dan jahanam sahaja yang akan kekal dalam Umno.

“Kami perlu berada di pihak yang benar dan ikhlas yang berjuang untuk rakyat dan masa depan negara,” kata Daim.

Seorang lagi bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Rais Yatim masih dikaji kedudukannya dalam Umno kerana belum jelas sokongannya kepada Pakatan Harapan, kata Tengku Adnan.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0
CATEGORIES
TAGS