
‘Syukur Presiden tidak minat jumpa YB ini’
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin menyatakan rasa syukur kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar tidak berminat untuk kembali kepada AMANAH.
Hanipa juga bersyukur kerana Presiden AMANAH, Mohamad Sabu tidak berjumpa dengan Fakhrulrazi yang meninggalkan parti itu bulan lalu untuk menyertai PKR.
“Jujurnya saya hanya tahu kewujudan YB ini (Fakhrulrazi) lepas dia bersama Parti AMANAH. Sebelum ini, maaf, saya tak pernah kenal atau dengar nama dia pun.
“Apapun, saya bersyukur atas dua perkara. Pertama, kerana YB Presiden parti AMANAH tak berjumpa dengan YB ini seperti yang YB ini katanya minta.
“Ini mungkin kerana YB Presiden tidak mahu buang masa jumpa YB yang hanya jasad sahaja berada di dalam parti AMANAH tapi hati dah ada di tempat lain,” bidasnya.
Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang berpendapat banyak hal lain yang mungkin dirasakan berfaedah untuk Mohamad lakukan.
“Beliau (Mohamad) sangat sibuk. Saya kenal agak lama dengan YB Presiden dan kami boleh dikatakan amat rapat.
“Dah macam keluarga. Jadi, saya arif, beliau bukan jenis yang suka buang masa!
“Kedua, bersyukur kerana YB ini kata dia tak ada minat untuk kembali semula kepada Parti AMANAH. Terima kasih banyak-banyak YB,” ujarnya.
Fakhrulrazi yang memenangi kerusi DUN Meru dengan majoriti 9,608 undi, menewaskan empat pesaingnya pada PRU-14 bertindak meninggalkan AMANAH bulan lalu untuk menyertai PKR.
Dia didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rayuan pada Februari lalu, bagi menggantikan hukuman penjara lapan bulan atas sabitan kes hasutan berhubung kenyataan dalam perhimpunan #KitaLawan, pada 2015.
Pada 27 Disember lalu, Fakhrulrazi dalam hantaran di Facebook mendakwa ada “orang tertentu kepanasan” dan beranggapan dia hendak kembali kepada AMANAH.
Reaksi “kepanasan” itu susulan Fakhrulrazi mendedahkan pernah berhasrat bertemu Mohamad Sabu ketika awal dia “dikeluarkan dari parti” bagi memberi penjelasan.
“Minta maaf saya tidak berminat untuk kembali semula kepada parti AMANAH dan akan meneruskan perjuangan saya bersama wadah Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Saya tidak memusuhi parti AMANAH,” katanya yang pernah didenda RM1,800 pada Februari lalu atas sabitan kes hasutan berhubung kenyataan dalam perhimpunan #KitaLawan pada 2015.
Mengulas lanjut kenyataan itu, Hanipa yang juga peguam berpendapat AMANAH pun tidak berminat untuk menerima kembali Fakhrulrazi.
Hanipa secara sinis menganggap rasa tidak minat Fakhrulrazi untuk kembali kepada parti sebagai “sangat mengagumkan” lantaran turut sama dirasai AMANAH.
“Apapun, selamat maju jaya YB. Jika ada rezeki mungkin PKR bagi kerusi untuk jadi calon pada masa akan datang.
“Jika tidak, jangan risau. Boleh jadi ostad semula. Dan cuba runding dengan para ostad “parti ehem” (Pas) di surau mana yang ada kosong untuk bagi kuliah atau tazkirah tapi jangan pula buat live qiyamulail dalam FB ya,” sinis Hanipa lagi.