Malaysia Dateline

Syukuri nikmat Islam dan hidayah, kata Timbalan Menteri Agama Arab Saudi

Nikmat Islam dan hidayah merupakan anugerah terbesar Allah yang perlu sentiasa disyukuri umat Islam, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi Dr Abdullah Muhammad al-Saamil.

Dr Abdullah berkata dua anugerah itu tidak mampu dihitung nilainya.

“Bagi mereka yang mensyukuri dua nikmat ini, mereka akan beroleh kejayaan besar di dunia dan akhirat, adapun sebaliknya mereka di kalangan orang yang rugi,” katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat dalam bahasa Arab di Masjid Pejabat Penasihat Islam Kedutaan Arab Saudi di sini, hari ini.

Sambil memetik beberapa ayat al-Quran, Dr Abdullah mengingatkan umat Islam mengenai azab yang boleh datang bila-bila masa disebabkan sikap tidak mensyukuri nikmat Allah.

“Justeru setiap umat Islam perlu sentiasa peka untuk tidak mengkufuri segala nikmat diberikan terutama nikmat Islam dan hidayah,” kata Dr Abdullah.

Timbalan Menteri Agama Arab Saudi itu juga menyeru umat Islam mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

“Tiada perbezaan antara orang Arab atau bukan, hitam atau putih, miskin atau kaya kecuali dengan perbezaan sifat taqwa.Kita (umat Islam) perlu sentiasa menjadikan al-Quran dan Sunah sebagai pegangan kehidupan,” katanya. –BERNAMA