Satu rakaman ceramah oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus mengenai isu isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab munasabah kembali tular di media sosial, baru-baru ini.
Dalam rakaman tersebut, Ustaz Azhar Idrus atau UAI turut berkongsikan hadis Nabi Muhammad SAW mengenai isu berkenaan bagi dijadikan panduan kepada pasangan suami isteri.
Ustaz Azhar dalam perkongsian yang sama turut menitipkan nasihat kepada kaum wanita supaya kekal bersabar untuk menjaga keharmonian rumah tangga mereka.
“Nabi kata, mana-mana isteri yang suka meminta cerai daripada suaminya dengan tiada apa-apa kesalahan atau kejahatan, maka syurga haram ke atas perempuan seperti itu.
“Jadi, orang perempuan kena bersabar. Belum kena cerai lagi, minta cerai sahaja. Maka tertutup pintu syurga. Banyaknya bini (isteri) minta cerai ini, akhlak dia tak molek (bagus),” jelas pendakwah dari Terengganu itu.
Walau bagaimanapun, Ustaz Azhar berkata terdapat lima situasi atau sebab yang membenarkan seseorang isteri itu untuk meminta cerai antaranya adalah suami tidak menunaikan nafkah.
“Melainkan jika lima perkara (berlaku) boleh minta cerai. Nombor satu, suami tak beri nafkah. Nombor dua, suami melarang buat perkara yang wajib seperti sembahyang atau menutup aurat.
“Nombor tiga, suami suruh buat yang haram seperti ajak liwat, berjudi, minum arak dan sebagainya. Nombor empat jika suami melakukan dera, sepak terajang, ‘flying kick’ atas muka.
“Perkara kelima jika suami dikenakan hukum penjara. Kebanyakan negeri di Malaysia ini minima tiga tahun penjara,” ujar pendakwah ketika mengulas isu tersebut dalam rakaman itu.
Rakaman ceramah yang dimuat naik menerusi platform media sosial TikTok oleh pemilik akaun @insan_marhaen itu telah berjaya meraih 2 juta tontonan daripada pelayar aplikasi tersebut.
Baca juga: “Boleh pula suami berhenti kerja lepas kahwin, dia pinjam abang dia RM1k pun aku kena bayar”