TABAH pusat sehenti pemerkasaan mahasiswa Negeri Sembilan

TABAH pusat sehenti pemerkasaan mahasiswa Negeri Sembilan

Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) berperanan sebagai pusat sehenti bagi menyelaras aktiviti pemerkasaan mahasiswa di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata pusat yang berada di bawah seliaan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan itu diwujudkan bagi memastikan mahasiswa diperkasa selain menjadi platform terbaik meningkatkan keterampilan mereka sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Terdapat lima kluster TABAH iaitu pendidikan, kemahiran, kerjaya, sukarelawan, dan penyelidikan juga amat signifikan dengan pemberdayaan mahasiswa dalam melahirkan mahasiswa yang lebih cemerlang dan unggul,” katanya kepada pemberita pada Himpunan Mahasiswa Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Sementara itu, Taufek berkata TABAH yang merupakan cetusan idea Aminuddin mula dilaksanakan pada bulan ini dan Himpunan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan merupakan program pertama yang dianjurkan TABAH.

“Saya yakin TABAH akan menjadi platform terbaik untuk mahasiswa bersama-bersama dengan kerajaan negeri dalam membangunkan belia dan mahasiswa demi masa depan yang lebih baik.

“Sewajarnya anak-anak negeri Sembilan sama ada mahasiswa atau belia menjadikan TABAH ini sebagai platform yang terbaik bagi mereka dan kita berlapang dada menerima sebarang idea dan teguran dan apa jua pandangan terhadap pembangunan belia dan mahasiswa di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA