Malaysia Dateline

Tabung Baitulmal Sarawak perkenalkan Bantuan Darurat

Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) akan memastikan setiap golongan asnaf di negeri ini terjaga dari segi bekalan barangan asas selain bertindak membantu masyarakat Islam yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurut Pengurus Besar TBS Datu Haji Abang Shibli Haji Abang Nailie, pihaknya telah memperkenalkan aplikasi bantuan darurat bagi menyantuni permohonan bantuan khas Covid-19 dengan pantas dan berkesan.

Katanya, sebelum ini, TBS turut telah memperkenalkan aplikasi Jejak Asnaf di seluruh Sarawak.

Bagaimanapun, jelas beliau, aplikasi Jejak Asnaf itu didapati kurang berkesan kerana agak sukar untuk dilaksanakan ekoran pemprosesannya secara manual.

“Justeru, dengan adanya aplikasi darurat yang serba canggih ini, dalam masa satu hari sahaja kita dapat membantu kira-kira seramai 4,642 pemohon,” jelas beliau di Kuching hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya lagi, pemohon boleh memuat turun aplikasi bantuan darurat menerusi daruratapp.tbs.org.my

“Setelah selesai muat turun, pemohon dikehendaki mengisi nombor kad pengenalan serta perlu muat naik gambar swafoto atas tujuan keselamatan.

“Pemohon turut dikehendaki menjawab beberapa soalan bagi memastikan pengesahan.

“Maka dengan ini, kita menyeru umat Islam yang memohon untuk berlaku jujur dan ikhlas. Berilah ruang dan peluang kepada golongan yang benar-benar berhak seperti yang dikehendaki hukum agama kita,” ujar Abang Shibli.

Beliau turut memberitahu, penerima kategori keluarga akan mendapat bantuan berjumlah RM250, manakala bagi kategori bujang sebanyak RM100.