Malaysia Dateline

Tabung Covid-19: PM, jemaah menteri potong dua bulan gaji

Tabung Covid-19 bakal menerima sumbangan Perdana Menteri dan jemaah menteri yang akan dipotong selama dua bulan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu hal tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Tabung COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu,” katanya hari ini.

Sehingga semalam, jumlah sumbangan wang terkumpul termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM8,493,103.48.

Terdahulu, bekas Penasihat Ekonomi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad semasa kerajaan Pakatan Harapan, Dr Muhammed Abdul Khalid membidas tindakan jemaah menteri yang meminta pandangan dalam mencari jalan penyelesaian ekonomi.

Bekas perunding untuk Bank Dunia, Dr Muhammed Abdul Khalid menyarankan jemaah menteri dipotong gaji dan hanya diberikan gaji simbolik RM1 sahaja untuk membantu rakyat dan negara sepanjang tahun ini.

“Kesemua pengerusi, ahli lembaga pengarah, dan CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLCs dan GLICs) disyorkan supaya gaji mereka dipotong 25 peratus,” katanya dalam satu artikelnya, 23 Mac lalu.