Malaysia Dateline

Tabung Haji akan jadi seperti bank yang fikirkan untung jika kerajaan pinda status

Bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, A Kadir Jasin menyifatkan cadangan meminda status Lembaga Tabung Haji (TH) dan meletakkannya di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai langkah radikal yang perlu dikaji dan difahami sedalam-dalamnya.

Beliau berkata, Tabung Haji akan menjadi seperti sebuah bank yang mengutamakan perniagaan dan mencari keuntungan jika kerajaan berbuat demikian.

“Masa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memindahkan aset-aset rugi Lembaga Tabung Haji kepada syarikat tujuan khas (SPV), Kementerian Kewangan bukan main marah pengkritik PH.

“Sampai ada yang menipu mengatakan TH dijual kepada Cina. Malangnya, ada orang Melayu-Islam yang jahil mengenai operasi korporat percaya diayah palsu itu.

“Hari ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara terbuka telah mengumumkan cadangannya untuk menukar status TH dan sekali gus meletakkannya di bawah penyeliaan BNM,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Kadir menjelaskan, daripada badan berkanun di bawah Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal jemaah haji, ia akan ditukar menjadi institusi kewangan Islam berjadual di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Beliau kemudian mempersoalkan tentang pengumuman mengenai Tabung Haji itu yang dibuat oleh Kementerian Kewangan tanpa memetik nama siapa yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Ia tidak dikeluarkan atas nama sesiapa. Maklumat yang penting sebegini selalunya ada tanda tangan.

“Ia sudah cukup untuk menimbulkan tanda tanya dan persoalan kerana TH bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” ulasnya dalam artikel yang disiarkan di Sinar Harian.