Tabung Haji buat ‘jualan murah’ bangunan pejabatnya

Tabung Haji buat ‘jualan murah’ bangunan pejabatnya

 

Tabung Haji membuat ‘jualan murah’ untuk bangunan prestij yang dimilikinya di Jalan Ismail, TH Platinum, dengan harga sewaan sehingga RM5 sekaki persegi sahaja.

Ia bertujuan untuk memastikan bangunan itu diisi dari dibiarkan kosong, kata Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, lapor The Star Online hari ini.

“Ia seperti jualan murah,” kata Adi Azuan yang menyebut, tawaran murah itu meliputi lima tingkat bangunan itu dan akan tamat hujung tahun ini.

Harga pasaran sewaan untuk bangunan Gred A itu kini adalah antara RM7.50 dan RM8.00 sekaki persegi.

Tindakan Tabung Haji itu menimbulkan persoalan mengenai masalah lebihan ruang pejabat di bandar raya.

Menara TH Platinum 38 tingkat milik dana haji itu dibeli pada harga RM450 juta, dan merupakan bangunan pejabat gred A terletak berhampiran Menara Kembar Petronas di KLCC.

Adi berkata Tabung Haji mempunyai sejumlah 8 juta kaki persegi untuk disewakan di seluruh negara, dan 7% daripadanya kosong, kebanyakannya di Menara TH.

Selain Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, ia turut memiliki TH Selborn, Menara TH Glomac di Petaling Jaya, Blok D Plaza Sentral dan Bangunan 2A di Bangsar South, di samping hotel dan ruang pejabat lain di Arab Saudi, Australia dan UK.

Anak syarikatnya, TH Properties, kini membangunkan hotel 300 bilik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.