Malaysia Dateline

Tabung Haji: Bukan isu dendam tapi pembelaan

Laporan polis yang dibuat oleh kakitangan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan semata-mata mengikut prosedur dalam pengurusan kewangan lembaga itu.

Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, ia tiada langsung terkait dengan isu balas dendam kerajaan Pakatan Harapan kepada Barisan Nasional (BN) sebagaimana dakwaan pemimpin Pas.

“Perlu diingat mereka yang membuat laporan polis adalah pegawai-pegawai baharu yang mengambil alih pengurusan TH.

“Mereka akan dipersalahkan diatas apa jua salah tadbir atau salah guna kuasa kemudian hari jika di dapati berlaku dalam pengurusan kewangan TH jika tidak dilaporkan .

“Untuk melindungi diri dari tuduhan salah laku kemudian hari, selepas mengaudit kewangan TH mengikut peraturan, mereka mestilah membuat laporan apa jua kesalahan yang terdapat melalui audit tersebut.

“Ini juga adalah prosedur yang diperlukan untuk laporan kepada SPRM jika diperlukan dan prosedur biasa. Tidak timbul langsung isu balas dendam sebagaimana yang didakwa oleh Nasrudin Hassan. Tidak timbul adanya teori konspirasi yang dramatik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan di buat oleh Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan, semalam, yang dipetik berkata, kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan skandal dana Tabung Haji (TH) tidak menjadi satu lagi siri balas dendam kerajaan terhadap BN.

Pada Sabtu Lembaga Tabung Haji (TH) membuat 2 laporan polis terhadap bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan.

Laporan yang dikemukakan itu adalah siasatan dalaman yang pertama dalam transaksi masa lalu, yang dipimpin oleh pengurusan baru sejak Julai 2018.

Kakitangan kanan yang terbabit adalah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan pertama membabitkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 di mana dana berjumlah lebih RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Pas banyak membisu dan lebih banyak memberi alasan yang lemah tidak menekan isu 1MDB dan juga kes Tabung Haji di Parlimen sebelum PRU14 lagi.

Katanya, dakwaan balas dendam yang dibuat Nasrudin dalam isu Tabung Haji tidak timbul langsung kerana skandal ini ujarnya, bukan perkara yang baru ditimbulkan.

“Rafizi Ramli telah menimbulkan isu salah guna kuasa dalam TH beberapa tahun yang lepas pada 2016 sehingga beliau di bawa ke mahkamah.

“Sebenarnya Nasrudin dan rakan rakannya telah gagal menjalankan tanggung jawab mereka semasa di Parlimen apabila berpeluang terlebih dahulu membela nasib ahli ahli penyimpan TH beragama Islam dan berbangsa Melayu.

“Janganlah sekarang pula cuba mengelirukan dan menggangu siasatan kes Tabung Haji seperti mereka telah cuba menggelirukan dan membela Najib dalam skandal kewangan terbesar dunia ia itu kes 1MDB . Dunia akui skandal mega 1MDB.

“Ingatlah sebahagian besar penyimpan dan pelabur Tabung Haji bukan sahaja orang Islam dan Melayu. Sebahagian besar adalah petani, nelayan dan orang kampung yang miskin.

“Mereka rakyat marhaen yang lebih terdahulu perlu dibela berbanding Najib dan rakan rakan Menteri Umno walau mungkin bagaimana “terhutang budi” dan “terhutang derma” Nasrudin Hassan dan Pas kepada Najib dan Umno,” ujarnya.