Malaysia Dateline

Tabung Haji bukti kejayaan PH, kata Mujahid

Kejayaan Tabung Haji memberikan bonus sebanyak 3.04 peratus kepada pencarumnya membuktikan tindakan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadapnya membuahkan hasil.

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, di sebalik fitnah keji ke atasnya, TH kini semakin pulih dibawah tim lembaga pengarah dan pengurusan yang dedikasi dan memahami halatuju TH.

“Sesungguhnya 3.05% dengan nilai agihan RM2.1B itu membuktikan petanda baik dari apa yang telah dilalui oleh TH sepanjang 2018-2019,” kata Mujahid dalam satu kenyataannya.

Naib Presiden AMANAH itu juga berkata, misi selamatkan TH bawah Menteri Agama di JPM bermula dengan kenal pasti masalah utama iaitu, menerima kedudukan kewangan sebenar TH, mematuhi akta TH dan membuat nilai rosot (impairment) sebenar supaya untung dan rugi adalah tepat dan bukan ditipu.

Dalam proses misi ini, menurut beliau 2 aspek utama perlu dipelihara iaitu pendeposit seramai 9 juta dan nilai deposit sebanyak hampir RM70 bilion.

“Kami berjaya yakini pendeposit bahawa langkah pemulihan adalah untuk TH terus mampan dan meneruskan tujuan murni ia diasaskan. Alhamdulillah tiada ‘panic’ dan nilai deposit kekal kukuh.

“Umpama penyakit kritikal, pembedahan memang perit dan sakit tetapi penting untuk proses pemulihan. 3 misi utama berjaya ditangani dengan komitmen kerajaan PH apabila ‘aset tenat’ bernilai RM10 bilion pada harga pasaran disandarkan melalui pemindahan kepada SPV dengan nilai asal menjadikannya hampir RM20 bilion.

“Semua nilai rosot dibuat pada piawaian sebenarnya sekaligus kedudukan kewangan TH ‘dibersihkan’ dan aset berjaya diimbangkan dengan lebihan RM1 bilion.

“Keupayaan mengagihkan RM913 juta atau 1.25% untuk kewangan 2018 yang ‘tenat’ dan dalam proses pemulihan adalah satu kejayaan awal,” ujar beliau.

Mujahid juga berkata, Fasa 2019 adalah ‘house keeping’ untuk tujuan penjimatan, pelaburan berhemah dan memperkukuhkan institusi operasi haji dengan menyediakan blue print haji melibatkan kos haji, kelesterian bantuan haji dan pengukuhan aspek perniagaan TH.

“Alhamdulilah saya berulangkali menegaskan dengan penstrukturan semula dan pelestarian organisasi TH, kami sudah berada pada landasan yang tepat! Ramai yang menimbulkan fitnah malah tergamak menyerang bertujuan untuk pendeposit keluarkan simpanan mereka di TH!

“Mereka tidak melihat impak fitnah kerana mereka dah ‘mabuk’ untuk menjatuhkan kerajaan PH walaupun menggunakan TH sebagai bahan!

“Sepanjang 2018 hingga kini, saya ‘diserang’ melalui fitnah ke atas TH. Kononnya TH dijual kepada Menteri Kewangan Cina (LGE), aset habis dijual kepada orang Cina, LGE buat keputusan atas TH dan berbagai fitnah keji. Walhal angkara pimpinan TH dan Menteri terdahululah yang membiarkan defisit membengkak walaupun diberi amaran oleh Bank Negara sejak 2014 lagi.

“Di sebalik fitnah keji termasuklah oleh KP Umno yang saya telahpun membuat saman ke atasnya, TH kini semakin pulih dibawah tim lembaga pengarah dan pengurusan yang dedikasi dan memahami halatuju TH.

“Azam saya sewaktu itu ialah TH masuk ke tahun 2020 dengan fasa pengukuhan demi khidmat terbaik untuk para Jamaah Haji dan pulangan pendeposit yang kompetetif melalui pelaburan berhemah dan tatakelola kewangan yang telus,” tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Kedudukan sebenar kewangan (Dis 2017) mendaftarkan defisit membengkak hampir RM4.1B pada aset TH sekaligus mengenalpasti nilai rosot sebenarnya dan lebih utama pengeluaran hibah (dividen) bercanggah dengan akta TH, Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Akta menegaskan aset perlu melebihi tanggungan sebagai syarat untuk keluarkan dividen dan perlu mencatatkan keuntungan. Kedua-dua syarat akta tidak dipenuhi.

Misi kerajaan PH adalah untuk selamatkan penyelewengan insititusi besar seperti 1MDB (RM42 bilion), TH (RM10 bilion) dan Felda (RM6 bilion).

Kes 1MDB sudahpun di Mahkamah manakala Felda telah disuntik hampir RM6 bilion dan TH diselamatkan dengan pemindahan aset ‘sakit’ kepada SPV dengan nilai hampir RM20 bilion.