Apakah benar Tabung Haji bayar 70% bangunan yang siap 30%, soal Husam

Apakah benar Tabung Haji bayar 70% bangunan yang siap 30%, soal Husam

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mempersoalkan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH)  apakah mereka mengkhianati amanah penabung dalam badan ekonomi umat Islam itu apabila satu demi satu penyelewengan yang didedahkan.

Husam dalam satu kenyataan mempersoalkan beberapa perkara membabitkan pengurusan TH.

Antaranya,  Husam mempersoalkan, apakah benar kontraktor pertama Kompleks baru TH berhampiran KLIA telah mengundurkan diri bersama 70 peratus bayaran sekalipun menyiapkan hanya 30 peratus kerja?

Ini menyebabkan bangunan yang sepatutnya siap 2013 lalu bagi menggantikan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya  itu terbengkalai sehingga kini.

“Itu sudah berjumlah RM210juta dari RM303 juta jumlah asal harga projek yang dijadual siap tiga tahun lalu iaitu pada 2013.

“Bermakna TH sangat pemurah – tetapi boleh dikira mengkhianati amanah pencarum, iaitu rata-ratanya orang Melayu,” ujarnya.

Husam yang juga Adun Salor  mempersoalkan benarkah TH membayar plot pertama tanah 1MDB di TREX dengan harga RM194juta padahal 1MDB membayar pada kerajaan dulunya hanya dengan hargaRM 4 juta?

“Jika begitu, TH telah membazirkan sebegitu banyak wang pencarum Melayu tulus ikhlas tadi.

“Plot kedua dikatakan dibayar dengan harga RM578 juta sekalipun harga asal hanyalah RM 8.9 juta. Jujur dan amanah kah itu?,” soalnya.

Husam juga bertanyakan tugas sebenar ahli lembaga TH

“Menyelamatkan masalah orang lain dengan wang amanah pencarum atau memberikan pulangan dan perlindungan terbaik kepada pencarum?

“Janganlah sejarah nanti tertulis Melayu sendiri mengkhianati Melayu.

” Apa lagi termasuk Melayu miskin dengan jerit perih mengumpul wang kerana tuntutan
melaksanakan kewajipan rukun Islam. Adakah TH tidak pedulikan itu semua?,” ujarnya.

TAGS