Malaysia Dateline

Tabung Haji: Fokus bukan RCI tetapi siasatan SPRM, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah penjimatan menerusi pelan penstrukturan dan pemulihan semula Lembaga Tabung Haji (TH) dan ia ternyata telah memberikan hasil yang baik.

Sehubungan itu kata beliau, adalah tidak perlu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan sebalik tumpuan perlu diberikan kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan yang telah berlaku dalam TH sebelum ini.

“Saya sudah jelaskan bahawa RCI itu perlu apabila berlaku masalah yang dihadapi tidak selesai, tetapi apabila kita telah habis melakukan proses pemulihan dan keadaan sudah kembali stabil, mengapa perlu lagi RCI?

“Yang perlu adalah SPRM untuk menyemak mereka yang telah melakukan penyelewengan.

“Adakah pihak-pihak berkenaan ingin menarik perhatian orang ramai supaya tidak memfokuskan perhatian kepada siasatan SPRM?” soal beliau sewaktu ditanya wartawan di Parlimen hari ini.

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Dr Mujahid Yusof berkata menerusi rundingan semula kontrak terdahulu, penjimatan sejumlah RM 9.3 juta bagi setahun yang memberi penjimatan optimum kepada TH terutama dalam bidang perbekalan, infrastruktur dan teknologi maklumat.

“Langkah lain dengan mengurangkan perbelanjaan mengurus seperti urus kos pentadbiran dan perolehan di ibu pejabat TH di semua cawangan di seluruh Malaysia yang membawa penjimatan sebanyak RM2 juta setahun,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mujahid berkata langkah penjimatan dalam majlis dalam skala lebih kecil membawa penjimatan RM1.5 juta setahun.