Malaysia Dateline

Tabung Haji: Hanipa gesa Menteri Agama beri penjelasan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sepatutnya tampil memberi penjelasan berhubung kedudukan sebenar Lembaga Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, pencerahan tersebut penting memandangkan isu berkaitan institusi kewangan Islam itu ‘panas’ di Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu.

Hanipa Maidin

“Mungkin Bapak Menteri (Dr Zulkifli) boleh bagi sedikit pencerahan, dengan andaian beliau sudah khatam membaca dan memahami laporan PricewaterhouseCoopers (PwC).

“PwC sebelum ini mendedahkan bahawa Tabung Haji membayar dividen/hibah guna duit simpanan para pendeposit (duit kebanyakan dari kita semua ) untuk FY 2017 yang dikatakan bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu.

TH merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1963, kini mempunyai lebih daripada 9 juta pendeposit dan 125 cawangan serta memiliki sebuah pejabat di Jeddah, Arab Saudi di bawah Konsulat Malaysia.

Hanipa yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional menjelaskan hibah atau dividen sepatutnya mesti dibayar dengan menggunakan wang yang dijana atas dasar keuntungan syarikat.

“Jika diandaikan Bapak Menteri terlalu sibuk dengan urusan transgender dan tidak sempat lagi baca laporan PwC, dengan hormat, saya nak ingatkan laporan PwC itu diberi nama “Financial Position Review of TH”.

“Nak tanya sikit ‘andai kata laporan PwC itu fitnah dan tak betul, YB tak mahukah suruh YB Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) dan LTH saman PwC?” soal Hanipa lagi.

Semalam, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membentangkan Laporan Kewangan Tabung Haji (TH) bagi tahun 2018 yang masih belum dibentangkan kepada Kabinet.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut mencabar Azeez Rahim untuk berdebat berkenaan isu TH ekoran pelbagai dakwaan yang dilemparkan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Saya tiada masalah untuk menjemput supaya Pengerusi Tabung Haji yang dahulu, Abdul Azeez untuk berdebat. Ketika saya berucap di Parlimen, dia ganggu dan nak pertahankan hujah dia, jadi ayuh kita berdebat,” tegas Mujahid lagi.