Malaysia Dateline

Tabung Haji: Kanser yang berjaya dibedah dan diubati

1. Saya mulakan bicara menjunjung kasih , merafa’ sembah ke bawah DYMM YDPA atas kesudian membuat titah kepada patik-patik sekelian. Tidak kira dari manablok patik atau blok rakan-rakan patik, kami semua adalah rakyat Tuanku yang taat setia kepada negara bawah naungan Tuanku, we are all loyal subject to Your Majesty.

Majlis bersidang riuh bertempikan
Jangan kata abang tak payung
Junjung kasih patik rafa’kan
Tuanku simbol kami bernaung

2. Saya turut ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Yang Dipertua Dewan yang dikosongkan semasa beliau masih segak duduk di kerusinya. Hasrat dan cita-cita Tan Sri Mohammad Arif adalah lambang komitmen kepada usaha gigih ‘without fear or favor’ yang ditunjukkan dalam menjadikan Parlimen Malaysia dihormati dan disanjungi di mata dunia.

Kita sedia maklum, bagaimana persepsi orang ramai terhadap institusi parlimen, malah sebelum ini seorang penulis dari Scotland (Robert Louis Stevenson, Nov 1830) telah berkata: “We all know what parliament is, and we are all ashamed of it”

3. Saya yakin Tan Sri Mohd Arif telah melakukan yang terbaik untuk memartabatkan Parlimen Malaysia dan membetuli persepsi buruk terhadap institusi parlimen.

Orangnya Ariff cukup ternama
Selain Ariff belum tertera
Budi Tuan terkenang selama
Kata nasihat umpama mutiara

Tuan Speaker

4. Bertcakap tentang parlimen ia adalah cabang dari dua lagi cabang yang lain di mana masing-masing bebas dari antara satu sama lain. Tujuannya adalah untuk menyemak imbang perjalanan sebuah kerajaan secara berkesan dan bukan secara kosemtik dan kepuraan. Jika kita pergi menjangkau format dan struktur, ada yang lebih besar dan utma yang perlu kita hayati, iaitu “Sedar Dhamir yang jelas atau Clear Concious” kita dalam berfungsi sebagai ahli legaslatif.

5. Ada tiga teras membina Sedar Dhamir yang bertanggungjawab iaitu pertama Kekuatan Hujah dan merit sesuatu hujahan. Ia perlu dinilai dengan dari jawapan kenapa, konteks yang lebih besar dan implikasi keputusan dan tindakan kita. Bak kata pepatah Inggeris:

“sooner or later everyone sits down to a banquet of consequences” (lambat laun semua kita akan duduk di meja santapan hidangan konsekuensi (kesan dari apa yang kita lakukan. Dalam Islam ia dikenali sebagai kaedah “Iktibar Maalat al Alafal” Kedua, peraturan/hukum dari sudut peruntukan yang ada, sejauhmana ia bercanggah dan kebijakan yang dipandu oleh perkiraan-perkiraan yang diambil.

Ke tiga GPS Moral atau Kompas Moral dari sudut asas-asas penting seperti kemanusiaan, menghormati warna kulit keturunan dan latarbelakang kaum dan agama serta meletakkan keamanan sebagai premis dan mengelak kebencian dan permusuhan.

6. Semua kita bertanggungjawab akhirnya membuat keputusan di dewan yang mulia ini di atas Sedar Dhamir kita, walaupun hangat perbahasannya. Kita menjadi saksi kepada segala keputusan yang kita buat seperti firman Allah dalam Surah Al Maarij ayat 32-33 bermaksud;

“Iaitu orang-orang yang menjaga AMANAH mereka dan mereka yang menjadi saksi kebenaran dan (tidak menyembunyikannya).”

Tuan Speaker

7. Seterusnya ia membawa saya kepada persoalan pentadbiran Islam di bawah kerajaan PN. Titah Tuanku jelas menyebut tentang perlunya Maqasid al Syariah menjadi panduan dalam pentadbiran Islam. Hakikatnya PH telah pun menyambut seruan ini selama 22 bulan memerintah dengan menjadikan Maqasid sebagai teras bersama dengan Falsafah Rahmatan Lil Alamin dan Model Malaysia.

8. Saya difahamkan hari ini sebuah bahagian khas di Jakim yang saya usahakan dahulu iaitu Bahagian Maqasid telah ditiadakan malah tingkat 9 yang meletakkan kluster Maqasid dan Kajian telah dibubarkan. Bagaimanakah satu bahagian penting yang disarankan oleh YDPA yang telahpun wujud dihapuskan? Bagaimana pula dana 10 juta yang dimaklumkan dalam Bajet 2020 khas untuk mempromosi Islam Rahmatan Lil Alamin, apa sudah jadi pada bajet itu?

Apa yang saya dengar adalah sebuah surau tingkat 9 blok A (KIP) yang dinamakan Rahmatan Lil Alamin punya dana yang besar. Untuk apa dana sebanyak sejuta lebih itu hendak digunakan sedangkan surau itu hanyalah surau biasa yang ada pada setiap tingkat. Mohon penjelasan.

9. Bagaimanakah 7 kluster yang telah kita bentuk sebelum ini dalam pentadbiran Islam apakah terus dikekalkan kerana 7 kluster ini menjadi KPI kepada semua agensi pentadbiran Islam peringkat Persekutuan. Apa indikator pencapaian Menteri Agama hari ini?

Tuan Speaker

10. Isu Tabung Haji atau TH menjadi tular berbagai persepsi yang mencalarkan imej institusi kebanggan umat Islam ini. Semasa saya menjadi Menteri yang bertanggungjawab, TH menjadi keutamaan saya dan kerajaan PH dari sudut usaha pemulihan yang kami usahakan.

Membuat keputusan-keputusan besar dalam proses pemulihan TH bukanlah mudah, secara jujurnya saya mengakui ia adalah satu detik yang paling mencabar keupayaan saya untuk menguruskan krisis kewangan TH. Saya ibarat “Telan mati emak, diluah mati bapa”

11. Keadaan TH umpama kanser, jika tidak diubati akan menyebabkan virus kanser merebak dan pendarahan terus parah merosakkan keseluruhan organisasi. Taruhan TH amat tinggi iaitu hampir 9 juta pendeposit, 70 B nilai deposit dan 30ks Jamaah dan operasi haji yang perlu ditangani.

Lebih menggerunkan ialah risiko kesan sistemik kepada pasaran kewangan jika berlaku panik dalam pengeluaran. Inilah tujuan surat Gabenor Bank Negara pada 23 Dis 2015 memberi amaran tiga perkara penting kepada TH,

1. Amalan Agihan Hibah secara puratanya melebihi keuntungan semasa (107% tempoh 2012-2014). Ini mengakibatkan paras rizab keuntungan terkumpul semakin merosot.

2. Perlu pematuhan kepada akta TH (1995) Seksyen 22, tidak boleh bayar hibah jika aset lebih rendah dari Tanggungan (Liabiliti)

3. Nilai Aset merosot 98sen berbanding RM 1 Tanggungan.

Keadaan ini jika tidak ditangani akan membahayakan kedudukan TH dan menyebabkan hilang kepercayaan pendeposit yang berpotensi membawa kepada risiko sistemik kepada keseluruhan sistem.

12. Memahami ‘parahnya’ kedudukan kewangan TH, satu siasatan forensik bebas dijalankan daripada PWC, Ernest&Young, berpandukan daripada laporan JAN (Jab. Audit Negara) pada kedudukan kewangan TH berakhir tahun 2017. Selain itu Bank Negara telah membuat pemantauan menilai pengurusan berisiko aset secara berhemah.

Dapatan dari siasatan Forensik bertujuan memandu segala tindakan pemulihan yang sesuai dalam misi “SELAMATKAN TH” dari terus menjadi parah. Ada 8 dapatan yang memberi keyakinan kepada kami bahawa TH perlu diselamatkan segera sebelum kansernya merebak lebih parah! Saya akan konngsikan sebahagian daripadanya di dewan yang mulia ini.

13. Ini adalah antara dapatannya,

a) Aset TH lebih rendah dari Tanggungannya sebagai indikator kepada sejauh mana stabil atau tidak kedudukan kewangannya. Dapatan siasatan mendedahkan bahawa sejak 2014, keadaan Aset lebih rendah dari Tanggungan ialah defisit RM352juta, manakala 2015 naik RM3.086B dan 2016 RM4.1B.

Defisit ini menandakan satu petunjuk penting bahawa Hibah tidak boleh diagihkan, kerana syarat untuk diagihkan ialah Aset hendaklah melebihi Tanggungan. Ini bermakna sejak 2014-2016 pengagihan hibah (dividen) tidak layak dikeluarkan! Tetapi pelanggaran tetap berlaku tanpa satu usaha pemulihan dibuat sejak 2014.

14. b) Nilai Rosot (impairment) harus jatuh dibuat secara tidak ikut piawaian dalam ekuiti melalui pertukaran keputusan yang tidak konsisten. Selain itu kerugian dari nilai rosot yang dibuat tidak dimasukkan dalam penyata pendapatan, sekali lagi bercanggah dengan piawaian MIA.

c) TH sebagai rakan sekutu pelaburan dalam TH Eng dan Pelican, tidak dibuat rosot nilai sebanyak RM478Juta, sekaligus tidak tertera pada kenyataan kewangan 2017.

d)Tiada nilai rosot dibuat dalam pelaburan subsidari dan pembiyaan dalam Marine 1 Limited bernilai RM25Juta dan akhirnya

e) Aliran Tunai patut terima dari dividen anak syarikat iaitu RM510Juta tidak diterima sepenuhnya, hanya RM125Juta sahaja diterima.

15. Jelas disini satu preskripsi berbentuk pemulihan dan penstrukturan semula diperlukan dengan menetapkan tumpuan utama dalam fasa awal pemulihan iaitu:

-Menyelesaikan defisit RM10B bagi membuka jalan untuk agihan hibah mematuhi akta TH

-Membersihkan laporan kewangan dengan membuat rosot nilai sebenar

-Memastikan agihan Hibah dibuat sebaik mungkin dan patuh seksyen 22

16. Kami ada beberapa opsyen pemulihan untuk Selamatkan TH samada

-Suntikan Langsung,

-Aktifkan jaminan kerajaan,

-Kerugian tertunda,

– Pindah aset sakit kepada SPV untuk proses rehabilitasi.

Kami memilih opsyen Pindah aset sakit kepada SPV mengikut model Danaharta.

17. Perjanjian termetrai setelah dibuat beberapa pembentangan di kabinet melibat tiga Kementerian iaitu JPM, Kem Kewangan dan Kem Ekonomi. Pada 28 Dis 2018 persetujuan TH dan UJSB sebuah SPV dari Kem Kewangan diperbadankan termetrai supaya perpindahan aset sakit RM9.7B dinilai secara harga prime oleh kerajaan PH iaitu sebanyak RM19.9B. 2 trench Sukuk diterbitkan dan boleh ditebus melalui kaedah Tunai, First Right of Refusal dan tebus melalui mana-mana aset milik kerajaan yang berdaya saing dan berpotensi.

18. Aset sakit dikenalpasti dari 106 ekuiti yang rugi melebihi 20%, Sebuah syarikat Perladangan yang tiada pulangan (rugi) dan 29 Bangunan dan hartanah membawa pulangan kurang 2.5% setahun. Komitmen kerajaan PH keseluruhan pakej selamatkan TH ialah RM17.8B dalam jangka masa 10 tahun dengan setiap tahun bermula Bajet 2020, 500Juta diperuntukan, dan tahun seterusnya RM1.78B akan diperuntukkan sehingga ditebus semua sukuk. Surat sokongan Kerajaan pada pakej pemulihan in telah dikeluarkan sebagai komitmen.

19. Dengan usaha pemulihan yang dilancarkan untuk 2018 TH mampu dalam fasa awal pemulihan mengagihkan 1.25% hibah secara patuh akta setelah berjaya menutup defisit 10B dengan 1.0B lebihan aset dan tahun 2019 agihan hibah lebih baik kepada 3.05% serta lebihan aset RM2.3B manakala prestasi setengah tahun 2020 lebihan aset berbanding tanggungan ialah RM1.86B dengan pendapatan RM1.55B dan keuntungan RM1.25B.

20. Kejayaan pelan pemulihan terus terbukti dengan kejayaan TH bawah PH menyelesaikan masalah defisit (supaya hibah boleh diagihkan), kewangan yang lebih telus dan sebenarnya serta menjana keuntungan tetap yang memberangsangkan dari pulangan sukuk.

Fakta ini terbukti dalam soalan saya pada hari pertama parlimen tentang TH pada 13 Julai, PM menteri menegaskan kedudukan aset kini ialah RM78.0B manakal lebihan aset ialah RM 1.9B. Usaha pemindahan aset kepada UJSB sebagai pelan pemulihan dimiliki sepenuhnya oleh Kem Kewangan dan beliau menegaskan bahawa TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam!

Alhamdulillah, Sekian terimakasih Tuan Speaker
———————–
UCAPAN BAHAS TITAH YDPA OLEH PENULIS PADA 15 JULAI 2020, 4.30 PETANG
DI DEWAN RAKYAT, PARLIMEN MALAYSIA.