Malaysia Dateline

Tabung Haji: Pas berterusan mainkan sentimen kaum dikesali

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyelar kenyataan Timbalan Menteri dari Pas yang dianggap sengaja membangkitkan isu politik dan perkauman berhubung penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau menjelaskan, PH terpaksa menjual beberapa aset THP kerana syarikat itu mencatatkan hutang sebanyak RM1.24 bilion pada 2018 dan RM1.29 bilion pada 2019.

Justeru katanya, Timbalan Menteri Agama, Ahmad Marzuk Shaary sepatutnya menjelaskan sebab sebenar mengapa aset THP terpaksa dijual yang didakwa telah dibebani hutang sejak 2015.

Beliau berkata, Ahmad Marzuk tidak jujur sewaktu memberi jawapan bertulis berhubung isu penjualan aset tersebut, yang sepatutnya menjelaskan bahawa sebab penjualan adalah untuk mengurangkan beban dan bukannya suka-suka dijual.

“(Timbalan) Menteri tidak sepatutnya menggunakan jalur perkauman dalam jawapannya di Dewan Rakyat, apabila menyebut syarikat yang akan membeli aset THP, Tamaco Plantation Sdn Bhd, kononnya dikuasai bangsa Cina. Ini rasis dan bahaya.

“Hakikatnya, kedudukan kewangan THP sudah kritikal dan dibebani hutang sejak 2015,” katanya dalam sidang Media di Parlimen semalam.

Untuk rekod, PH telah menjual dua anak syarikat THP, iaitu TH Bakti Sdn Bhd sebanyak RM16.3 juta dan THP Gemas Sdn Bhd sebanyak RM154.1juta.

Sementara itu, Mujahid turut menambah bahawa Menteri Agama ketika pentadbiran BN pada 2015 turut melakukan hal yang sama.

Justeru, Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, beliau juga boleh menggunakan isu perkauman dan membangkitkan kepada siapa dua syarikat itu dijual, namun beliau faham ia membabitkan transaksi perniagaan bagi meringankan beban hutang THP.

Namun soalnya, mengapa ketika PH melaksanakan rasionalisasi, ianya terus-terusan menjadi isu politik dan perkauman.

“Mengapa apabila rasionalisasi dilaksanakan untuk selamatkan THP pada 2018 dan 2019 dengan menjual aset atas keperluan sama, ianya jadi isu politik.

“Saya sedih dengan kenyataan Timbalan Menteri yang mewakili portfolio agama yang cuba mempolitikkan isu ini dan mengaitkannya dengan perkauman,” katanya.

Jelasnya, Marzuk membuat kenyataan dengan sentimen rasis apabila mengaitkan keturunan ahli lembaga syarikat Tamaco Plantations Sdn Bhd yang akan membeli dua lagi anak syarikat TH.

Ia berkaitan jawapan Marzuk di Parlimen semalam untuk menyemak semula rancangan Mujahid untuk menjual Bumi Suria Ventures Sdn Bhd and Maju Warisan Sdn Bhd.

Dalam jawapan tambahan di Dewan Rakyat, Marzuk menyenaraikan kesemua lima orang pengarah syarikat Tamaco Plantations yang ditegaskannya sebagai bukan bumiputera.