Tabung Haji: Rafizi mahu kemukakan representasi tarik balik dakwaan pertuduhan terhadapnya

Tabung Haji: Rafizi mahu kemukakan representasi tarik balik dakwaan pertuduhan terhadapnya

Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli yang didakwa menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara supaya pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha, yang mewakili Mohd Rafizi berkata pihaknya akan menghantar representasi itu secepat mungkin bagi memohon pertimbangan daripada AGC supaya mengkaji semula pertuduhan sekali gus menarik balik pertuduhan terhadap anak guamnya.

Nik Zarith memaklumkan perkara itu ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan.

Mahkamah juga menetapkan 30 Julai untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing dan 28 Ogos ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan tiga saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu yang bermula 4 Januari 2018.

Mohd Rafizi, yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan didakwa menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada 9 pagi, 18 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote