Tabung Haji: Tiada kompromi ke atas hak, kepentingan Melayu dan umat Islam

Tabung Haji: Tiada kompromi ke atas hak, kepentingan Melayu dan umat Islam

Pemuda AMANAH Melaka mengharapkan pihak berkuasa memberi keadilan sewajarnya kepada pihak yang telah merosakkan institusi yang menjaga hak dan kepentingan umat Islam dan Melayu seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pemudanya Nor Khairi Yusof berkata, korupsi yang berlaku sehingga memberi nama buruk kepada TH yang membawa imej Islam ini sangat menjengkelkan.

“Saya mewakili Pemuda AMANAH Negeri Melaka sangat berharap agar pihak berkuasa memberikan keadilan yang sewajarnya kepada mereka yang telah menjahanamkan institusi yang sepatutnya menjaga hak dan kepentingan orang Islam dan Melayu terutamanya.

“Kami juga memberi peringatan tegas bahawa tidak akan ada sebarang kompromi andai ianya melibatkan hak-hak rakyat dan harta negara yang dirompak, meskipun jika ianya datang dari pemimpin Pakatan Harapansendiri.

“Peganglah amanah yang diberikan rakyat dengan sebaiknya dan laksanakan tugas untuk mentadbir negara Malaysia ini dengan cemerlang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan polis yang dibuat oleh pegawai kanan TH berkenaan penyelewengan dana sebanyak RM22juta dimana ia didakwa digunakan untuk aktiviti yang cenderung kepada politik.

Katanya, isu TH ini pernah hangat sekitar tahun 2016 apabila Rafizi Ramli ketika itu mendedahkan penyelewengan yang berlaku namun ramai yang menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran isu tersebut hanya kerana Rafizi dari parti lawan ketika kerajaan BN memerintah.

Bahkan pimpinan Pas yang diketuai Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berpuashati dengan urus tadbir TH selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan TH yang turut dihadiri Pengerusinya ketika itu Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

“Bukan sekadar RM22juta sahaja, pihak TH turut membuat laporan bersama berkaitan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

“Ianya satu jumlah yang sangat besar apatah lagi kita memang sedia maklum bahawa duit di dalam Tabung Haji ialah dari kalangan beragama Islam dan orang Melayu.

“Bagaimana kita nak membayangkan betapa tergamaknya orang-orang korup ini merompak duit mak cik dan pak cik yang menabung saban hari untuk menunaikan ibadat haji, namun di gunakan untuk kepentingan politik sehingga nama Tabung Haji yang gah terpalit kotoran yang sangat teruk.

“Lebih menakutkan lagi, mereka-mereka yang melaungkan semangat perkauman dan meniup kekasaran agama, diam menikus di dalam perkara yang besar ini.

“Di mana pejuang-pejuang yang berhimpun kerana memperkatakan agama dan bangsa telah tergadai, inilah masanya Tuan Puan turun memperkotakan jeritan yang bergema sebelum ini,” ujarnya.

Pada Sabtu Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat memberi jaminan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka selamat.

Semalam bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Rahim pula dipetik berkata, jumlah keseluruhan RM22juta didakwa diselewengnya daripada Yayasan Tabung Haji (YTH) untuk tujuan politik sebenarnya diagihkan melalui program Ziarah Kasih, Jom Bantu Rakyat dan Ziarah Kasih Ramadan selama setahun membantu golongan memerlukan.

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan pula berkata partinya mengalu-alukan sebarang langkah untuk memperbetulkan dan membaiki TH sebagai satu institusi penting umat Islam di negara ini.

“Salah tetap Salah. Tiada kompromi pada yang salah. Namun tentukan kesalahan itu melalui proses keadilan yang betul dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang diperjuangkan selama ini,” ujar Nasrudin.