Tabung Haji umum hibah 1.25 peratus

Tabung Haji umum hibah 1.25 peratus

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan hibah bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus, melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelan penstrukturan yang telah dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Beliau berkata, dalam menzahirkan komitmen itu, kerajaan juga akan membuat peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun depan dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun, sehingga semua sukuk ditebus semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion. Ini adalah kesan kelemahan dan salah guna kuasa pentadbiran yang lepas.

“Manipulasi akaun telah membolehkan hibah diisytiharkan pada kadar yang tinggi walaupun jurang defisit terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Prestasi TH & Pengumuman Hibah Tahun 2018 di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Fuziah Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat.

Dalam perkembangan sama, Zukri berkata kejayaan memulihkan TH dalam tempoh singkat enam bulan adalah disebabkan, sokongan penuh kerajaan terhadap pelaksanaan penstrukturan semula TH dalam mengimbangi kedudukan kewangannya.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu melibatkan pemindahan aset yang mengalami kejatuhan nilai dan kurang berdaya saing kepada sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV), milik kerajaan yang dikenali sebagai Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

“Aset ini yang mempunyai nilai buku sebanyak RM9.7 bilion telah dipindahkan kepada UJSB pada harga RM19.9 bilion bagi membolehkan jurang defisit sebanyak RM10.9 bilion ditutup.

“Pemindahan ini akan dilangsaikan menerusi sukuk RM19.6 bilion dan tunai sebanyak RM300 juta.

“Transaksi pemindahan ini membolehkan TH mencapai dua matlamatnya, iaitu menutup jurang defisit dan memulihkan kedudukan kewangan,” katanya.