Malaysia Dateline

Tabung Harapan kumpul RM18.6 juta selepas dua hari

Lebih RM7 juta diterima untuk hari pertama selepas THM dilancarkan dua hari lepas.

Tabung Harapan Malaysia (THM) selepas dua hari ditubuhkan sudah berjaya mengumpulkan RM18,608,925.36, kata Kementerian Kewangan hari ini.

Ia berdasarkan angka terkini sehingga jam 3.00 petang 1 Jun 2018 hari ini, selepas akaun itu mula dibuka jam 2 petang 30 Mei lepas.

Tabung Harapan Malaysia (THM) yang diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Rabu lalu bagi membantu kewangan kerajaan.

Ia kini mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk selebriti dan artis tanah air.

Di Pulau Pinang, ketua menteri dan exconya memotong 10% gaji mereka untuk THM.

Penyanyi Alif Satar ada memuat naik foto resit dengan menutup jumlah wang yang diderma menerusi Instastorynya, lapor Mstar.

Selain Alif, penyanyi Nourul Wahab juga melakukan perkara yang sama demi membantu negara yang dicintai biarpun jumlahnya tidak banyak.

“Demi negara yang tercinta. Saya sudah. Yang lain? walaupun sekupang (10 sen), bantu juga (perumpamaan),” tulis Nourul di Instagramnya.

Dalam pada itu, Fathia Latiff, Hafiz Hamidun dan Fauziah Latiff antara yang memberi sumbangan dan sokongan terhadap penubuhan tabung tersebut, lapor media itu lagi.