Tabung Harapan Malaysia bukan sesuatu  di luar kebiasaan kerajaan, kata penganalisis

Tabung Harapan Malaysia bukan sesuatu di luar kebiasaan kerajaan, kata penganalisis

Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, penubuhan Tabung Harapan Malaysia (THM) bukan sesuatu yang  luar biasa hari ini atau di luar  kebiasaan dilakukan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah melakukan perkara sama dengan pelaksanaan pemotongan gaji dan alaun penjawat awam.

“Sebahagian rakyat melihat dengan penubuhan tabung ini agak luar biasa bila kerajaan wujudkan ‘tabung’ seolah kerajaan tiada duit kerana rakyat pula terpaksa menanggung hutang dan liabiliti negara.

“Tetapi dari sudut positifnya ia memberi isyarat kepada rakyat bahawa pada hari ini negara dalam situasi kritikal.

“Ini menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan ikhlas dan berterus terang kepada rakyat untuk mereka menyumbang kepada kerajaan.

Dr Mazlan Ali

“Sejak di era Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri 22 tahun lalu tidak pernah diwujudkan sebarang bentuk tabungan. Mengapa sekarang perlu diwujudkan pula?

“Sebenarnya pemotongan gaji dan alaun perkhidmatan penjawat awam pernah dipotong pada masa krisis ekonomi 1997 yang  ketika itu jumlah kakitangan awam 1.5 juta orang.

“Walaupun pemotongan itu tidak dinamakan ‘tabung’ ia juga mengambil sesuatu daripada rakyat secara paksa.

“Tetapi hari ini dengan menubuhkan sebuah tabung secara rasmi oleh kerajaan Pakatan Harapan ia memberi pilihan kepada rakyat sama ada untuk memberikan sumbangan atau pun tidak, bukan satu paksaan.

“Inisiatif dilakukan untuk memupuk kesedaran rakyat membantu negara, walaupun dilihat seolah-olah kerajaan ‘meminta sedekah’ daripada rakyat, tetapi  dari sudut yang lain kerajaan tidak lagi memotong alaun dan gaji perkhidmatan awam  tiap kali negara hadapi krisis  ekonomi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Sejak diumumkan penubuhan THM pada Rabu, Kementerian Kewangan mengumumkan jumlah terkumpul sehingga jam 3 petang semalam sebanyak RM18.6juta.

THM ditubuhkan sebagai hasrat rakyat Malaysia yang ingin menyumbang terhadap ikhtiar kerajaan untuk mengurangkan tahap hutang negara. Putrajaya berkata hutang dan liabiliti negara melebihi RM1 trilion.

Bahkan beliau berkata THM ini mendapat reaksi positif rakyat kerana beliau percayai banyak syarikat korporat yang berminat untuk menyumbang ke dalam tabung tersebut yang diberikan pelepasan cukai.

“Penubuhan tabung ini memberi isyarat kepada rakyat, hari ini negara dalam situasi kritikal. Ramai korporat besar yang bersedia untuk bantu kerajaan

“Dengan adanya tabung ini kerajaan Pakatan Harapan sudah pasti tidak akan membuat potongan gaji dan alaun kakitangan awam, jika berlaku juga pemotongan tidaklah wajar,” ujarnya lagi.

 

4.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS