Malaysia Dateline

Tabung Palestin: Nasruddin saran henti merokok, warganet desak potong gaji menteri

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan menyarankan agar golongan perokok mengurangkan atau cuba berhenti berbuat demikian sebaliknya menyalurkan belanja rokok untuk tabung Palestin.

“Kawan-kawan yang merokok, boleh kurangkan atau cuba dulu hentikan merokok dalam sebulan ini, bajet beli rokok tu kita salurkan ke tabung Palestin,” katanya di hantaran Facebook.

Walau bagaimanapun, syor Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkenaan dihujani kecaman dan sindiran warganet.

Rata-rata daripada hampir 300 komentar yang ditinggalkan hanya dalam tempoh 10 jam itu menempelak cadangan bekas Ahli Parlimen Temerloh tersebut.

Orang ramai antara lain menyarankan gaji menteri dan wakil rakyat dipotong tambahan ketika Parlimen dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) telah digantung ekoran darurat.

“Menteri-menteri dan YB boleh juga potong gaji sebab menteri gaji besar dan Parlimen pun tak bersidang. Masa inilah nak bekorban semoga diberi ganjaran pahala,” kata Amir Azlan.

Ada juga yang mempersoal sejauhmana sumbangan orang ramai sampai kepada golongan sasaran jika derma Palestin kepada NGO di bawah Pas tidak pernah diaudit.

“Tunjuk dulu bukti derma-derma Palestin melalui NGO di bawah Pas diaudit,” tegas Ubaidillah Harith Shahri.

LANJUT MENYUSUL