Taburan hujan sebulan dalam sehari punca banjir, kata Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melawat Island Park Condo pagi tadi bagi melihat kawasan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat kelmarin

Banjir yang melanda Pulau Pinang semalam dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melampau dengan purata taburannya sebanyak 270 milimeter, bersamaan dengan jumlah air hujan dalam sebulan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata ekoran hujan lebat sejak malam Khamis, kandungan air di empangan Ayer Itam meningkat sebanyak 20 peratus.

“Daripada 74 peratus, air dalam empangan jadi 94 peratus dan ini sangat mengejutkan kerana menunjukkan volum air yang sangat banyak,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di SP Arena di Seberang Jaya di Butterworth, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri berharap rancangan tebatan banjir bernilai RM150 juta oleh kerajaan Persekutuan akan siap segera bagi mengurangkan masalah banjir di negeri ini.

Semalam, selain di bahagian tanah besar, beberapa kawasan sekitar bandar raya George Town dinaiki air antara 0.2 meter dan 0.3 meter ekoran hujan lebat sejak malam Khamis.