Malaysia Dateline

Tadbir SPRM secara profesional tanpa tangan-tangan ghaib politik

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya ditadbir secara profesional tanpa membiarkan wujudnya tangan-tangan ghaib politik menjelma dalam organisasi tersebut.

Demikian disarankan oleh Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Jelasnya, SPRM merupakan badan penguatkuasa undang-undang yang harus berfungsi secara profesional, adil dan saksama terhadap rakyat jelata serta harus ke hadapan secara gemilang dan bukannya mundur ke belakang sepertimana amalan kerajaan kleptokrasi pada suatu ketika sebelum ini.

Malah kata Khairuddin lagi, kini asas pentadbiran penguatkuasa undang-undang serta jabatan kerajaan sudah boleh berfungsi secara profesional tanpa campurtangan ghaib orang-orang politik.

“Tolong jangan izinkan tangan-tangan ghaib orang-orang politik daripada mempengaruhi penguatkuasa undang-undang bertindak diluar prinsip ketelusan untuk melaksanakan setiap tanggungjawab serta amanah rakyat.

“Jangan cemarkan SPRM dengan mengulangi undang-undang rimba ketika ini kerana saya adalah mangsa tekanan dan dizalimi oleh kerajaan kleptokrasi ketika melawan skandal 1MDB.

“Tatkala itu pihak penguatkuasa undang-undang telah diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan kleptokrasi sehinggakan mereka menyalahguna kuasa serta undang-undang ke tahap yang paling membimbangkan,” ujarnya.

Tambah Khairuddin lagi, pengalaman beliau ketika itu ialah membuat laporan kepada pihak penguatkuasa undang-undang bagi menyelamatkan wang kerajaan serta dana rakyat sebaliknya ditangkap dan dipenjarakan tanpa bicara.

Katanya, SPRM harus sedar bahawa 8 juta pengundi dalam pilihanraya umum ke 15 terdiri dari anak muda dan mereka amat benci dengan unsur penganiayaan khususnya terhadap generasi muda.

Dalam pada itu jelasnya,isu siasatan terhadap anak-anak muda dari Armada Bersatu, SPRM harus jelaskan kepada rakyat insiden hitam tersebut dan seterusnya memberi jaminan bahawa ia tidak akan berulang lagi.

Tambah beliau, SPRM mesti diurus tadbir secara profesional, adil, saksama dan beramanah.