Tadika Kemas sedang diubah ke arah tempat belajar yang menyeronokkan

Tadika Kemas sedang diubah ke arah tempat belajar yang menyeronokkan
Husam berucap di bekas sekolahnya mengajak guru dan pentadbiran sekolah menjadikan pembelajaran satu yang menyeronokkan.

Jika semuanya berjalan lancar, Tadika Kemas akan bertukar konsep menjadi pusat pendidikan yang menyeronokkan kanak-kanak.

Menurut Senator Datuk Husam Musa, beliau telah menghantar satu surat kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar bagi mencadangkan agar konsep dan pendekatan pembelajaran di Tadika Kemas dinaik taraf.

“Saya telah tulis surat kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan mencadangkan agar mereka mengajar Sains Teknologi English dan Matematik (STEM) di Tadika dan sekolah Kemas dan juga pra sekolah lain.

“Jika menteri terima cadangan ini, kita akan ada penjenamaan semula sekolah-sekolah pra sekolah Kemas dengan pengajaran STEM yang lebih cekap dengan kanak-kanak tidak merasa takut jemu dan tidak gembira di sekolah,” kata Husam ketika berucap dalam satu majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Kota Bharu.

Menurutnya, perkara utama yang perlu diberikan perhatian kepada pendidikan kanak-kanak adalah mereka gembira ketika belajar.

“Belajar bagi saya kena happy.. jika belajar tak happy ada sesuatu yang tak kena kepada pelajar, sekolah, cikgu atau apa-apa saja yang berkaitan.

“Sebab bila anak murid happy, tadika akan happy dan bila anak-anak balik rumah, ibu bapa dan kanak-kanak tidak tertekan,” kata Husam berucap buat pertama kali kepada sekolah beliau dahulu itu.

Guru-guru dan pelajar SMK Sultan Ismail Kota Bharu yang mendengar ucapan Husam.

Menurut Husam, beliau telah jumpa satu team yang merangka model pengajaran Sains, English dan Metamatik yang bermula sejak berumur 4 tahun lagi.

“Bagi saya ianya penting dan sesuai untuk negara,” kata Husam.

Menurut Husam, banyak sekolah yang menjadikan pelajar tidak gembira, begitu juga institusi agama.

“Kini khutbah Jumaat juga antara tidak happy lagi. Ia penuh dengan leteran bukannya motivasi. Misalnya berleter kepada makmum kerana lambat datang masjid.

“Padahal yang mendengarnya adalah orang yang datang awal, yang datang lewat tetap tidak mendengarnya sebab mereka belum sampai,” kata Husam.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta khutbah Jumaat dipenuhkan dengan motivasi kepada makmum bukannya tempat berleter.