Malaysia Dateline

Tadika, taska boleh gulung tikar akibat PKP

Ramai pengusaha tadika dan taska bimbang sumber pendapatan mereka terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kebimbangan itu disuarakan oleh Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain yang memberitahu terdapat aduan kepada pihaknya berkenaan kebimbangan tersebut.

Menurutnya, rata-rata ibu bapa bertindak untuk meminta potongan harga ke atas yuran tadika anak mereka sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita mendapat maklum perkara ini dan ia adalah suatu cabaran terhadap industri pendidikan seperti ini bagi menghadapi situasi sepanjang tempoh PKP berlangsung.

“Selain itu, bila ditanya kepada pengusaha tadika, mereka menyatakan mereka terpaksa mengekalkan bayaran yuran bulanan dan tahunan kerana ia membabitkan beberapa faktor termasuk ‘over head’ mereka yang tinggi.

“Bayaran sewa premis dan gaji guru merupakan faktor utama mereka untuk meneruskan kesinambungan tadika mereka.

“Perkara sudah menjadi hal yang penting untuk dijadikan asas dalam kerajaan memikirkan permasalahan ini,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dalam pada itu, Zuhan juga menyatakan kerajaan perlu memikirkan beberapa kaedah untuk menyelamatkan industri pendidikan tersebut kerana ia akan mengakibatkan permasalahan lebih besar jika pengusaha tidak dapat menampung kerugian mereka.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan insentif kepada pengusaha tersebut termasuk bantuan dana, pendidikan atas talian yang sistematik dan sebagainya.

“Selain tadika, pusat asuhan kanak-kanak, taska dan pusat tuisyen juga antara industri yang terjejas teruk dalam keadaan PKP ini berlangsung.

“Lebih memeritkan lagi ada aduan yang menyatakan mereka sudah tidak berdaya meneruskan usaha mendidik tersebut.

“Hala tuju yang jelas perlu digarap oleh kerajaan bagi mendatangkan matlamat terhadap mereka ini perlu drencanakan dengan kadar segera,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Zuhan berharap kerajaan tidak perlu berdiam diri dalam hal tersebut sebaliknya segera menyelamatkan pengusaha tadika dan taska terbabit.