Malaysia Dateline

‘Tag’ kalis virus tidak berkesan cegah COVID-19, kata Pusat Racun Negara

Belum pun sempat isu penggunaan herba daun semambu untuk rawatan COVID 19 reda, timbul pula dakwaan kaedah pencegahan baru.

Kali ini melibatkan produk moden pula iaitu kad gantung di baju (health tag) yang mengandungi bahan kimia Chlorine Dioxide.

Pusat Racun Negara dalam hantaran di facebooknya berkata, Chlorine Dioxide merupakan gas yang bersifat merengsa terutama kepada saluran pernafasan bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah.

Bahkan katanya, satu kajian khusus tentang keberkesanan produk seumpama ini telah dijalankan dan diterbitkan melalui artikel Hidekazu Nishimura ‘Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide’ (Japanese Journal of Environmental Infections 32(4):222-226. July 2017).

Hasil daripada kajian ini katanya mendapati tiada kesan pembasmian kuman atau virus yang berlaku dan gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung.

“Dapatan ini menunjukkan pemakaian health tag adalah tidak berkesan untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada apatah lagi COVID-19.

“Produk yang kini viral dan laris penjualannya melalui atas talian ini kononnya bertindak mencegah jangkitan virus dan bakteria melalui pembebasan gas Chlorine Dioxide di sekitar pemakainya.

“Apa yang lebih dibimbangi adalah kepercayaan pengguna terhadap produk ini akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan dilindungi daripada jangkitan,” ujarnya.

Akibatnya, katanya, pemakai mungkin akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang terbukti berkesan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakan sosial.

Terdahulu, tular di media sosial foto beberapa pemimpin politik memakai tag di leher mereka yang dikatakan mampu menghapuskan kuman termasuk virus dalam jarak satu meter.

Mereka dilihat memakai tag serupa berwarna putih berharga RM59.90 yang difahamkan tahan selama 45 hari.

Pada produk dinamakan Antah Wellness itu, maklumat tertera memberitahu mampu melindungi pemakai daripada penyakit bawaan udara atau airborne.