Tahan, dakwa individu terlibat seleweng TH bukti kerajaan tangani salah laku, kata Teras

Tahan, dakwa individu terlibat seleweng TH bukti  kerajaan tangani salah laku, kata Teras

Usaha bersungguh-sungguh yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menahan dan mendakwa mereka yang terlibat dalam kes penyelewengan dana Lembaga  Tabung Haji (TH) membuktikan keseriusan untuk mencegah aktiviti sedemikian menjadi amalan kini.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang, Nur Shuhada Abdullah ketika ditemui semalam.

Katanya lagi, penahanan beberapa individu termasuklah Ahli Parlimen Baling bagi siasatan dana tersebut amat dialu-alukan.

Nur Shuhadah Abdullah

“Sejak menerajui kepimpinan selepas memenangi pilihan raya umum Mei yang lalu, jelas kerajaan sedang mencuba sedaya mungkin bagi membanteras amalan korup dan rasuah.

“Sejajar dengan itu, ia bukan saja dapat menyelamatkan dana dan kedudukan kewangan negara, tetapi juga menyekat amalan tersebut dari terus berleluasa.

“Dalam keadaan negara yang sedang cuba mengembalikan kekdudukan kewangan menjadi stabil, maka usaha yang sedang diambil oleh kerajaan memperlihatkan komitmen yang amat besar, ” jelasnya lagi.

Namun begitu katanya, individu lain yang turut terlibat dalam penyalahgunaan dana tersebut juga seharusnya diheret ke muka pengadilan dengan segera.

“Walaupun ada segelintir yang telah meninggalkan organisasi tersebut, siasatan harus diteruskan agar dana yang telah dipertanggungjawabkan sebelum ini dapat diselamatkan.

“Siasatan bukan saja tertumpa pada dana melibatkan Tabung Haji, tetapi juga lain-lain organisasi yang sering didakwa wujudnya salah laku atau pecah amanah.

“Melalui kesungguhan tersebut, rakyat sudah pasti akan memberi dokongan sehingga mampu untuk mengekalkan kepimpinan sedia ada, ” tegasnya.

Oleh kerana itu tambahnya, agensi kerajaan yang lain juga perlu mengikut jejak dan komitmen yang ditunjukkan demi menegakkan keadilan dan urus tadbir yang lebih baik dan bersih dari gelaja rasuah serta penyelewengan.