Tahan nafas jadi buntal, berenang anjing dan penjaga Pulau Kukup

Tahan nafas jadi buntal, berenang anjing dan penjaga Pulau Kukup

Pulau Kukup yang menjadi penampan angin kencang dari Selat Melaka juga tempat persinggahan burung dari benua Australia.

Angin petang dari perairan Selat Melaka bertiup sepoi-sepoi bahasa ketika menjejakkan kaki di Kampung Kukup Laut sehari selepas penamaan calon bagi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Citra hidup sederhana masyarakat tempatan dapat dilihat ketika menyusuri jaringan lorong dengan tiang konkrit yang rapat menghubungkan antara unit rumah di kampung nelayan berketurunan Cina itu.

Banyak juga rumah yang pintunya terbuka luas sekali gus membolehkan mata sekali pandang menyinggah ruang dalaman kediaman yang rata-ratanya berkeadaan bersih dan terurus.

Tiba di satu sudut pangkalan di kampung itu, saya dan jurugambar Malaysia Dateline, Syafiq Iskandar serta jurufoto Suara Keadilan, Yuisri Yusof dan rakannya, Masnah – aktivis era Reformasi empat malam di lokap dengan rotan FRU pernah hinggap di tubuh – tertarik dengan aksi sekumpulan enam kanak-kanak.

Mereka nampaknya sedang tekun memancing. Ada ketika mereka tertawa sambil lincah memasang umpan. Ada masa mereka sekejap-sekejap berlari mendapatkan joran yang tiba-tiba tersentak.

Sangkaan awal kami bahawa mereka adalah satu kumpulan meleset. Selepas menyapa, baru diketahui tiga daripadanya adalah kanak-kanak Cina. Kalau sekali pandang, iras wajah mereka lebih-lebih lagi warna kulit, ingatkan anak Melayu.

Namun, identiti mereka bertiga dapat juga diketahui apabila salah seorang agak terpinga-pinga sambil tersengih ketika ditanyakan, “banyak dapat ikan?”

Rafiq Irfan

Dia yang bersekolah Darjah Lima di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ken Boon tidak jauh dari kampung nelayan itu bertanyakan rakan di sebelahnya dalam bahasa Cina. Rakannya yang bertubuh lebih kecil daripadanya bertindak sebagai penterjemah.

Tiga kanak-kanak lagi dari Kampung Sungai Durian. Rafiq Irfan yang bersekolah Darjah Enam nampaknya seperti ketua kumpulan kanak-kanak di atas pelantar kayu itu.

Ada ketika dia mengingatkan kumpulan kanak-kanak Cina itu berhati-hati berlari di atas pelantar kayu yang jarang di sana-sini. “Bahayalah,” jeritnya.

Dua lagi rakan Irfan, Rahiman dan Hafiz namanya. Masing-masing Darjah Lima dan Empat.

Irfan tidak canggung ketika diajak berbual. Dia nampaknya kenal benar dengan pelbagai jenis ikan dan ekosistem persekitaran yang didiaminya.

Tidak keterlaluan dikatakan, pengetahuan Irfan tentang jenis ikan laut mengalahkan seorang gadis yang bakal berumahtangga.

Dia memberitahu ikan duri dan ikan merah mudah ditangkap di perairan itu. Pernah Irfan berjaya menaikkan ikan merah seberat dua kilogram yang kemudiannya dijual dengan harga RM60.

“Saya dapat duit (jualan) itu, saya menabung,” katanya ketika pelantar kami berdiri sedikit teroleng-oleng dilambung ombak sejurus berlalunya sebuah bot bersaiz besar.

Ditanya apa lagi jenis ikan yang pernah diperolehnya, Irfan menyebutkan satu-satu nama hidupan air itu lengkap dengan ciri fizikal bahkan harga jualan.

“Lagi di sini boleh dapat ikan honga tanda. Warnanya coklat kehitaman. Sekilo kalau jual, boleh dapat lebih RM40.

“Ikan sembilang pun ada. Ikan belukang pun banyak tapi buat kacau umpan saja. Orang Melayu pun tak makan, banyak tahi,” kata anak penjaga ikan sangkar itu lagi.

Irfan menunjukkan kemahirannya memancing sambil diperhatikan rakannya, Hafiz.

Dua batu

Perbualan kami terhenti seketika apabila mereka mendapatkan joran yang disangka telah mengena mangsa. Saya, Syafiq, Kak Yus dan Kak Mas pun sambung misi bergambar merakamkan pemandangan yang mustahil ada di Kuala Lumpur.

Namun, Irfan kemudiannya cepat-cepat berjalan dan kembali duduk di bangku kayu panjang di tengah-tengah pelantar itu. Tiga anak Cina tadi pula sesekali tersengih memerhati kumpulan anak Melayu itu sambil meneruskan aktiviti memancing.

Memandangkan kawasan perkampungan nelayan berusia di situ nampaknya dihuni komuniti Tionghoa, saya bertanyakan di mana mereka tinggal.

“Kami dari Kampung Sungai Durian. Naik basikal dalam dua batu saja,” jawab Rahiman yakin walaupun sebelum itu agak lambat panas untuk rancak berbual.

Dua batu? Sudah jarang rasanya kanak-kanak zaman sekarang sebut ‘batu’ untuk jarak, getus hati saya.

Saya juga mengandaikan tentu mereka bertiga pandai berenang. Bagaimanapun, Rahiman menggeleng-geleng serentak digelakkan oleh Irfan.

“Tahan nafas nanti jadi (ikan) buntal,” seloroh Irfan mengusik rakannya. Rahiman yang sememangnya berisi tubuhnya pun sama ketawa.

Irfan kemudiannya memberitahu, peringkat awal dia belajar ‘berenang anjing’.

“Lepas itu, baru ayah ajar renang macam biasa,” jelasnya.

Saya meminta dia menjelaskan apa maksud ‘berenang anjing’. Jawabnya, berenang dengan cara tangan dan kaki serentak menguis-nguis sambil dia menggayakan gerakan itu.

Serentak itu, kami ketawa melihatkan aksinya bercerita.

Tiga sekawan dari Kampung Sungai Durian memancing di Kukup Laut. Dari kiri Irfan, Rahiman dan Hafiz.

Irfan kemudiannya kembali pada nada serius. Katanya, tahun lalu ada kes orang mati lemas kerana memancing. Dia kenal orangnya. Orang Kampung Sungai Durian juga.

“Tali sangkut pada enjin bot. Dia nak betulkan tapi entah macam mana tiba-tiba hanyut dan lemas. Ada juga kes seorang pekerja Indonesia lemas jatuh dari sangkar,” ujarnya.

Hidup tanpa menjadi hamba gajet, kanak-kanak di Tanjung Piai dilihat menikmati alam semulajadi mereka dengan rakan sebaya sambil bergurau senda.

Bahkan, kanak-kanak di wilayah paling selatan benua Asia itu juga tahu di mana tempat yang ‘keras’ dan ada ‘penjaga’.

“Hutan bakau itu ada ‘penjaga’ tetapi ikan sembilang banyak di situ. Ada juga yang kata di situ ada buaya. Tapi dia (buaya) tidak kacau orang.

“Bila air surut, timbul kupang tapi jangan masuk ke dalam, ada ‘penjaga’,” kata Irfan lagi menuding jari ke arah Taman Negara Pulau Kukup yang merupakan pulau paya bakau tanpa penduduk kedua terbesar di dunia itu.

Penulis dan jurugambar Syafiq ketika berbual dengan Irfan dan rakan-rakannya.

 

Penulis bersama kumpulan kanak-kanak Melayu dan Cina di Kukup Laut. Duduk  Yuisri Yusof.