Tahanan rumah YDP Agong: Polis akan ambil keterangan Tun Mahathir

Tahanan rumah YDP Agong: Polis akan ambil keterangan Tun Mahathir

Polis menunggu masa yang sesuai untuk mengambil keterangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan beliau mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dikenakan tahanan rumah.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim Polis menunggu masa yang sesuai untuk mengambil keterangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan beliau mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dikenakan tahanan rumah.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan Dr Mahathir mengenai dakwaan itu yang dilaporkan beberapa portal berita sebelum ini.

“Dalam proses siasatan ini, sudah semestinya perlukan pengesahan lanjut daripada beliau (Tun Mahathir) sama ada perkara yang dilaporkan dalam blog itu betul atau tidak,” katanya.

Noor Rashid berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz bersempena sambutan Hari Polis Ke-209 hari ini.

Isnin lalu, Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaannya itu, dan menyifatkan dakwaan bekas perdana menteri itu adalah palsu dan berniat jahat.

Kata Abdul Aziz, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Katanya, Dr Mahathir mendakwa tahanan rumah itu bertujuan menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menerima tandatangan 1.4 juta rakyat yang beliau (Dr Mahathir) dakwa telah dikumpulkan.

Beliau turut menyelar Dr Mahathir berhubung cubaannya melibatkan raja berperlembagaan dalam politik, serta politik partisan untuk kepentingannya.

Tunku Abdul Aziz berkata tindakan Dr Mahathir itu telah menimbulkan kekeliruan dan boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam, dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap bekas perdana menteri itu.

TAGS