Malaysia Dateline

‘Tahanan SOSMA diperlaku seperti binatang, kalau tidak boleh faham maqasid syariah, tanya dengan ustaz Pas’

Tahanan SOSMA diperlaku seperti binatang, tegas Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.

Beliau bercakap atas pengalamannya sendiri sebagai peguam yang pernah mengendalikan kes-kes SOSMA termasuk pernah berunding di penjara apabila tahanan SOSMA mogok lapar.

Itu sebabnya Hanipa dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) semasa undian belah bahagian, 23 Mac lalu antara 86 Ahli Parlimen yang menolak usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.

Berikut hujah penuh Hanipa Maidin ketika membahaskan usul berkaitan akta tersebut:

Saya membantah usul ini. Setelah saya mendengar ucapan daripada Yang Berhormat Menteri, saya boleh buat kesimpulan beliau tidak memahami SOSMA sebenarnya tetapi beliau kelihatannya nampak macam faham tetapi sebenarnya tidak faham.

Kalau beliau faham, beliau tentu tahu tidak boleh terima SOSMA ini. Saya beri contoh Tuan Yang di-Pertua, tengok seksyen 30 SOSMA itu yang mana seksyen 30 mengatakan memberikan satu kuasa yang amat besar kepada pendakwa raya hingga mahkamah pun diikat tangan mereka.

Saya beri contoh Tuan Yang di-Pertua, katakan mahkamah membebaskan seseorang, pendakwa raya
hanya boleh bangun di mahkamah mengatakan, “Yang Arif, saya minta supaya orang yang kena tuduh ini walaupun dibebaskan, masih lagi dipenjarakan”.

Mahkamah tidak ada pilihan, terpaksa mendengar cakap Peguam Negara ataupun pendakwa. Pergi rayuan pula, begitu juga dibebaskan, masih boleh lagi ditahan.

Ini Tuan Yang di-Pertua, dalam seksyen 30 SOSMA. Oleh sebab itu, bagi saya, kalau kita bercakap tentang SOSMA ini, Yang Berhormat Menteri mengatakan bahawa ia adalah selaras dengan maqasid syariah. Sekali lagi, saya rasa dia tidak faham apa maqasid syariah itu.

Tuan Yang di-Pertua, seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Shah Alam, apabila dia bercakap soal syariah, tidak boleh lari daripada syariah.

Antara prinsip syariah itu adalah Islam melarang kezaliman. Salah satu petikan daripada hadis Qudsi. [Membaca sepotong hadis] “Wahai hambaku, Allah mengatakan Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku”.

Maknanya, kezaliman ini satu perkara yang tidak boleh langsung kita kompromi. Jadi, sebab itu dalam Islam, ia menyeru kepada absolute justice. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Tengok surah Al-Maidah ayat 28.

Tuan Yang di-Pertua, saya boleh bersyarah bagi lima jam. Lima minit mungkin tidak cukup.

Tuan Yang di-Pertua, SOSMA ini adalah satu undang-undang yang begitu zalim Tuan Yang di-Pertua. Seperti mana kata Yang Berhormat Kulai, ia adalah undang-undang procedural.

Undang-undang ini memang undang-undang yang tidak boleh sepatutnya kita pertahankan. Sepatutnya kita sama-sama menentang.

Masalahnya bukan kita menentang ataupun kita menyokong keganasan dan sebagainya, itu bukan isunya. Isunya adalah walaupun kita hendak menegakkan undang-undang, kita mesti memikirkan soal keadilan.

Keadilan ini bersifat mutlak dan keadilan mesti diberikan kepada semua orang walaupun kepada orang yang kena tuduh, walaupun kita benci kepada dia.

Tuan Yang di-Pertua, saya bercakap ini atas banyak kapasiti. Kapasiti sebagai seorang Ahli Parlimen, sebagai seorang mantan Timbalan Menteri Undang-undang, sebagai seorang peguam yang pernah buat kes-kes SOSMA ini, sebagai seorang yang pernah berunding di penjara apabila tahanan SOSMA mogok lapar.

Mereka menyatakan bagaimana mereka diperlakukan seperti binatang Tuan Yang di-Pertua.

Jadi, saya rasa Tuan Yang di-Pertua, segala yang dikatakan oleh Yang Berhormat Menteri sebenarnya bagi saya fake news, minta maaf.

'Tahanan SOSMA diperlaku seperti binatang, kalau tidak boleh faham maqasid syariah, tanya dengan ustaz-ustaz Pas'
Usaha mendapatkan hak dibicara secara adil masih panjang selagi wujud akta drakonian.

Oleh sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, saya mengharapkan supaya kerajaan ini kembali kepada senses supaya kita melihat isu ini dengan lebih menyeluruh bahawa kita bukan menyokong sebarang tindakan-tindakan yang cuba mencederakan orang dan sebagainya.

Itu bagi saya, seperti mana kata Yang Berhormat Ipoh Barat, kita semua sayang Malaysia tetapi kita tidak boleh sama sekali compromise isu kezaliman. Ini perkara yang kita tidak boleh compromise. Walau dalam apa keadaan sekalipun tidak boleh kita compromise kezaliman ini.

Oleh sebab itu, saya menyeru Tuan Yang di-Pertua, kalau hendak bercakap tentang soal maqasid syariah itu, kita kena faham juga satu kaedah dalam Islam dipanggil, [Berucap dalam bahasa Arab]

“Kalau kamu hendak menghukum satu-satu perkara, kamu kena melihat hukuman itu sebahagian daripada tasawur kamu”.

Kalau kamu tidak faham maqasid syariah, macam mana kamu boleh buat satu hukuman – ini adalah disarankan oleh maqasid syariah. Kamu tidak faham maqasid syariah itu apa.

Maqasid syariah ini bukan sekadar kita kata menjaga lima perkara itu, bukan itu sahaja. Ia lebih besar daripada itu. Baca buku Abdul Rahman Taj, seorang ulama hebat.

Baca buku Ibnu Asyur, baca buku ulama terkenal dari Maghribi. Ramai sangat ulama yang menulis tentang maqasid syariah, bukan baca tulisan yang telah diprepare itu. Baca kitab Arab baru boleh faham. Kalau tidak boleh faham, tanya dengan ustaz-ustaz Pas itu tetapi mereka pun dua kali lima juga masalahnya. [Ketawa]

Saya sekali lagi ingin mengatakan bahawa saya menentang ini dan saya punya pendirian secara peribadi, SOSMA ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bercanggah dengan Perkara 149(2) Perlembagaan.

Akan tetapi Tuan Yang diPertua, saya hendak tegaskan. Andai kata Yang Berhormat Pekan ditahan di bawah SOSMA, saya pun menentang sebab kita tidak boleh.

Walaupun saya benci betul dengan Yang Berhormat Pekan ini kerana dia telah merosakkan negara tetapi kalau dia ditahan di bawah SOSMA, sayalah orang pertama yang akan menentang penahanan itu kerana bagi saya Islam ajar, seperti saya katakan tadi dalam surah Al-Maidah ayat 28 very clear. [Membaca sepotong ayat Al-Quran]

Tuan Yang di-Pertua, kalau baca kitab-kitab tafsir, syana’a itu Tuan Yang diPertua, kebencian yang paling teruk sekali pun tidak boleh kita benci, tidak boleh kita berlaku tidak adil.

Itulah sifat Islam absolute justice. Jadi, Tuan Yang di-Pertua saya rasa, tidak sepatutlah kita sama-sama boleh meluluskan undang-undang ini.

Saya harap – saya sendiri akan tentang undang-undang ini dan saya rasa pihak PH kita semua menentang SOSMA bukan bermakna kita menyokong keganasan dan sebagainya. Sekian, terima kasih.