Malaysia Dateline

Amaran Anak Krakatau dinaikkan ke tahap kedua paling bahaya

Pihak berkuasa Indonesia menaikkan tahap amaran letusan Gunung Berapi Anak Krakatau ke tahap kedua paling berbahaya, dengan menetapkan zon pengecualian sejauh 5 kilometer.

Amaran tersebut dikeluarkan genap enam hari selepas tsunami dengan ombak setinggi lima meter membadai Banten di Selat Sunda, 22 Disember dengan mengorbankan lebih 400 orang setakat ini.

Penerbangan ke destinasi percutian tersebut turut diarah dilencongkan akibat debu tebal di ruang udara.

Tsunami Sabtu lalu berlaku kira-kira jam 9.21 malam menjejaskan empat daerah Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) berkata, gelombang tinggi yang melanda wilayah tersebut seakan-akan kejadian yang berlaku di Palu, September lalu yang mengorbankan kira-kira 2,000 nyawa.

Sementara itu, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) pada sidang media 23 Disember lalu menjangkakan berlaku gelombang tsunami kedua di Selat Sunda, dalam masa terdekat.

Orang ramai dinasihatkan menjauhi atau tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan pantai kawasan terlibat memandangkan Gunung Berapi Anak Krakatau masih lagi meletus.