Satu notis amaran telah dikeluarkan mengenai kes positif melibatkan racun jenis Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) di perairan tempatan.
Difahamkan, tahap racun itu telah melebihi paras bahaya sehingga menyebabkan kerang-kerangan menjadi beracun dan boleh memudaratkan kesihatan jika dimakan.
Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Sabah iaitu Azhar Kasim, racun berbahaya ini telah dikesan di sekitar perairan negeri itu termasuk di Teluk Likas, Kota Kinabalu.
Oleh yang demikian, jabatannya memutuskan untuk mengeluarkan amaran khusus buat penduduk di kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga, lapor Harian Metro.
“Dinasihatkan agar orang awam tidak mengutip dan memakan kerang-kerangan dari kawasan terbabit (perairan Teluk Likas).” Katanya memetik laporan Harian Metro.
Tegas Azhar, Jabatan Perikanan Sabah akan sentiasa memantau perkembangan pencemaran racun PSP dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.
Untuk maklumkan, racun atau toksik PSP ini dihasilkan oleh alga jenis plankton yang membiak di perairan termasuk pantai barat Sabah terutamanya ketika musim panas.
Sering berlaku pada akhir dan awal tahun, alga berkenaan bakal membiak dalam kadar yang banyak sehingga menyebabkan air laut terlibat kelihatan kemerahan.
Mengagumkan, atas sebab inilah mengapa kejadian tersebut turut dikenali sebagai fenomena air pasang merah namun ia amat beracun dan berbahaya pada manusia.
Tidak hanya Teluk Likas, antara lokasi lain yang sering dikesan tercemar dengan racun PSP di Sabah ialah di perairan Tuaran dan juga Tasik Sitompok, Kuala Penyu.
Apabila fenomena air pasang merah ini berlaku, kerang-kerangan adalah sejenis hidupan laut yang dikesan sering dicemari dengan racun PSP di tahap bahaya.
Manakala, ikan pula dijamin masih selamat untuk dinikmati kerana pencemaran PSP pada hidupan laut ini mudah sahaja dibersihkan dengan cara membuang insangnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai situasi ‘kerang beracun Teluk Likas’ boleh diajukan kepada pegawai bertugas di Kompleks Perikanan Likas.
Penduduk Sabah sila berjaga-jaga ya!
Baca juga: Masih ‘gagah’ layan cucu, warga emas tak tolak jodoh walaupun usia lebih 1 abad