Tahniah Amirudin, Pemuda AMANAH harap semangat kebersamaan disuburkan

Perlantikan Amiruddin bagi menerajui Selangor adalah satu pengiktirafan kepada golongan muda, kata Sany.

Pemuda AMANAH Nasional merakamkan sekalung tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 semalam.

Amirudin menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diberikan amanah di peringkat Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi

“Bagi kami, perlantikan Amirudin bagi menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor adalah satu pengiktirafan kepada golongan muda,” kata Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan.

Di usia 38 tahun, beliau diberi mandat untuk menerajui kepimpinan negeri penyumbang Terbesar (keluaran dalam negara kasar) KDNK Negara dan ia menzahirkan satu suasana baharu arena politik negara khususnya dalam konteks negeri Selangor, kata Adun Taman Templer itu.

“Kami sangat yakin pengalaman beliau berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta khidmatnya sebagai wakil rakyat untuk penggal ketiga sudah cukup untuk membuktikan beliau punya kelayakan untuk memimpin Kerajaan Negeri Selangor.

“Kami sangat yakin beliau mampu meneruskan kegemilangan pemerintahan Pakatan Harapan untuk penggal yang ketiga di negeri itu,” tambahnya lagi.

Sebagai rakan komponen Pakatan Harapan, kata Sany, Pemuda AMANAH Nasional mengharapkan agar Amirudin dapat menyuburkan semangat dan kebersamaan Pakatan Harapan dalam amalan urus tadbir negeri.

Semua parti komponen perlu memainkan peranan seiring dalam menggemilangkan negeri Selangor demi kebaikan serta kesejahteraan rakyat.

“Kami mengajak seluruh wakil rakyat dan kepimpinan untuk memberikan kepercayaan dan sokongan sepenuhnya kepada Amiruddin untuk memimpin Kerajaan Negeri.

“Ini adalah penting bagi sama-sama melunaskan mandat serta sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Selangor kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu,” katanya.

Pemuda AMANAH juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah berkhidmat dengan cemerlang dalam menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

“Semoga beliau terus sukses dalam khidmat dan tanggungjawab yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam kabinet Kerajaan Persekutuan,” kata Sany.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS