Malaysia Dateline

Tahniah BN dan GPS kerana masih setia bersama Pas

1. Melihat perkembangan politik terkini, rasanya kita kena bagi tabik kepada parti Pas. Kenapa?

2. Kerana, bagi saya, parti tersebut masih terus memainkan peranan sebagai pembangkang meskipun bersetuju bersama-sama dengan Kerajaan Perikatan Nasional ( PN) yang dipimpin oleh YAB Pagoh yang digelar juga Kerajaan Pintu Belakang atau Kerajaan Tebuk Atap yang khianat mandat rakyat.

3. Semua tahu dengan bermulanya episod seorang menteri dari parti Pas yang secara jelas melanggar perintah wajib kuarantin 14 hari selepas balik dari negara Turki-yang juga diserang pandemik Covid-19 ia seolah-olah menjadi “a game changer” kepada politik tanahair.

3. Apabila Menteri dari Pas ini hanya dikenakan hukuman kompoun RM1000 sahaja tanpa dibawa ke mahkamah, jauh sekali untuk dibicarakan, disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah, ia seperti menyiram petrol ke atas api yang sedang ganas menyala.

Sudah tentu rakyat berhak marah. Bukan sahaja rakyat dalam keadaan susah sekarang, rakan rakan mereka didakwa di mahkamah kerana melanggar perintah kuarantin wajib dan dikenakan hukuman denda dari RM8000 hingga ke RM12,000 dan hukuman penjara dari sehari hingga ke 5 bulan atas kesalahan yang sama sepertimana yang menteri dari parti Pas itu lakukan. Rakyat melihat itu semua sebagai fenomena dua darjat!

4. Bagi menambah garam di luka, kenyataan kenyataan dari pemimpin parti Pas yang membela menteri yang melanggar undang-undang tersebut memburukkan lagi keadaan. Untuk berlaku adil memamg ada juga pemimpin tertentu dari Pas yang juga mengkritik menteri tersebut, tetapi mereka dilihat hanya pada
pemimpin kecil yang tidak begitu berpengaruh.

5. Yang menjadi perhatian besar bila dua pemimpin besar Pas -Timbalan Presiden Pas merangkap seorang Menteri Kerajaan PM dan Mursyidul Am Pas – dilihat bersungguh cuba mempertahankan YB Menteri. Bukan sahaja alasan mereka berdua mempertahankan menteri Pas itu dilihat lucu dan amat tidak meyakinkan, tindakan Mursyidul Am menggunakan kisah dalam Al-Quran bagi membela menteri yang melanggar undang-undang diperlakukan secara berbeza dengan rakyat biasa amat sukar diterima oleh mana-mana pihak.

Yang lebih parah Mursyidul Am Pas dilapor media sehingga sanggup menganggap menteri yang langgar undang-undang itu sebagai hero. Beliau juga menyalahkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar yang didakwa cuai dalam kes Menteri Pas ini -satu tindakan yang mungkin dilihat oleh PN sendiri adalah melaksanakan tugas pembangkang!

6. Dalam keadaan bahang dan kepanasan isu Menteri Pas yang langgar perintah kuarantin itu belum reda, seorang lagi Ahli Parlimen Pas turut bersama menimbulkan ” kekacauan” baru melalui kenyataan beliau di Parlimen yang dilihat menghina kitab suci agama Kristian.

7. Media melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Pas tersebut telah mula mendapat respon yang amat negatif di Sabah dan di Sarawak-dua negeri yang sedang berada di ambang pilihanraya. Yang menariknya Pas juga berhasrat untuk letakkan calon dan setuju untuk guna logo bersama-logo dacing BN. Logiknya, dengan guna logo bersama ini, maka BN berbesar hati untuk pikul beban yang dicetuskan oeh Pas atas dasar pemuafakatan politik yang suci dan sejahtera. Saya harus ucap tahniah kepada mereka.

8. Pas, BN dan GPS kini bersama PN membentuk Kerajaan Persekutuan. Persepsinya bukan sahaja BN yang kini dilihat sanggup memikul beban yang dibawa oleh Pas, malahan GPS juga dilihat begitu ” senang” untuk turut bersama memikul beban rakan mereka itu.

Untuk BN dan GPS andalah hakikatnya rakan sebenar Pas-sanggup bersama di waktu senang dan diwaktu susah. Untuk Pas, anda patut bersyukur kerana mempunyai sahabat yang tulus dan ikhlas!