Malaysia Dateline

Tahniah, dividen Simpanan Shariah KWSP berjaya catat 6.4 peratus, kata Dr Zaharuddin

Tahniah, Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya mencatat 6.4 % untuk tahun 2017, sedikit rendah berbanding simpanan konvensional.

Demikian kata Penolong Professor, Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zaharuddin Abd Rahman yang juga merupakan Perunding Syariah.

Kata beliau, perbezaan tersebut antaranya kerana dua sebab utama.

Dr Zaharuddin Abd Rahman

Pertama kata beliau, prestasi saham-saham pelbagai institusi kewangan konvensional (riba) terbesar yang dilabur oleh simpanan konvensional mencatat keuntungan dan dividen besar pada tahun 2017.

Manakala simpanan Shariah hanya boleh melabur dalam satu bank Islam sahaja. Justeru, tiada sumber keuntungan Simpanan Shariah datang dari hasil industri riba seperti simpanan konvensional, jelasnya.

Yang kedua jelasnya, prestasi saham-saham patuh syariah yang dipegang oleh tabungan simpanan syariah antaranya dalam sektor telekomunikasi, gas dan minyak mengalami penurunan semenjak 18 bulan yang lalu berbanding harga kos sewaktu belian dahulu.

Ini menjadikan kadar dividen simpanan syariah terganggu disebabkan peratusan ‘impairment’ yang lebih besar, katanya.

“Pun begitu seluruh dividen 6.4 % dari Simpanan Shariah yang dikira melalui cara ‘daily balance’ (baki harian) tersebut akan dinikmati sepenuhnya oleh ahli Tanpa Perlu sebarang pembersihan kerana semua diraih melalui pelaburan patuh Shariah.

“Manakala bagi muslim dan muslimah yang mendapat 6.9 % hasil dividen simpanan konvensional, kalian wajib membuat pembersihan kerana majoriti dividen datang dari sumber Tidak Patuh Shariah.

“Jumlah pembersihan? sangat banyak, maka itu menjadikan dividen kalian sangat rendah jika dilihat dari perspektif Patuh Shariah.